Perluas skim Jauhar Prihatin

Osman bersama pembeli Unit Jauhar Prihatin Rumah Pangsa Seri Baiduri.
Osman bersama pembeli Unit Jauhar Prihatin Rumah Pangsa Seri Baiduri.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor bakal menambah baik manfaat skim sewa beli hartanah Johor atau 'Rent To Own' (RTO) di bawah Skim Jauhar Prihatin.

Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berkata, langkah itu bagi membantu merealisasikan impian rakyat memiliki kediaman sendiri.

Menurutnya, sejumlah RM30 juta diperuntukkan dalam Belanjawan Johor 2019 bagi tujuan pembelian unit baharu untuk disewa beli di bawah skim itu.

"Skim Jauhar Prihatin dilaksanakan bagi membantu menyelesaikan permasalahan ini (sukar dapat pembiayaan institusi kewangan)," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengundian Unit Jauhar Prihatin Rumah Pangsa Seri Baiduri (RTO 05), Bandar Tiram di sini, semalam.

Unit Jauhar Prihatin Rumah Pangsa Seri Baiduri (RTO 05) dilaksanakan KPRJ menerusi Generasi Takzim Sdn Bhd bersama Setiausaha Kerajaan Johor (SUKJ) Perumahan.

Sebanyak 190 unit rumah ditawarkan bagi unit Jauhar Prihatin Rumah Pangsa Seri Baiduri berbanding 650 permohonan yang diterima.

Osman berkata, menerusi skim tersebut, pembeli berpeluang memasuki rumah menerusi sewaan selama lima tahun sebelum kediaman menjadi milik mereka.

Artikel Berkaitan:

"Kadar sewaan bulanan ditetapkan rendah iaitu RM260 sebulan bagi seunit. Jika kita lihat harga semasa pasaran sewaan bulanan pada masa kini, boleh mencecah sehingga melebihi RM350 sebulan.

"Sebahagian daripada bayaran sewaan tersebut akan digunakan untuk urusan penyelenggaraan, manakala 50 peratus daripadanya dijadikan tabungan atau bayaran bulanan harga unit tersebut," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak hanya menitikberat matlamat penyediaan unit menerusi skim Jauhar Prihatin, tetapi berusaha merealisasikan pemilikan secara total iaitu mampu biaya unit rumah dimiliki.

"RTO di bawah skim Jauhar Prihatin ini menandakan inisiatif kerajaan dalam meningkatkan mutu kehidupan rakyat tidak pernah terhenti dan program sebegini tidak dilaksanakan secara bermusim.

"Projek seperti ini bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah untuk memiliki kediaman sendiri, terutama bagi mereka yang tidak mampu mendapatkan pinjaman perumahan biasa secara komersial," katanya.

Osman berkata, sebanyak 4,715 unit diperuntuk skim Jauhar Prihatin meliputi 90 peratus di Johor Bahru.

"Insya-ALLAH jumlah unit akan ditambah dan diperluaskan ke daerah-daerah lain dari semasa ke semasa," katanya.