12 ahli keluarga positif Covid-19, bapa terkorban

Gambar kenangan keluarga bersama Allahyarham Hamdan (duduk berbaju Melayu kuning).
Gambar kenangan keluarga bersama Allahyarham Hamdan (duduk berbaju Melayu kuning).
A
A
A

JEMPOL - Pengalaman sedih sebuah keluarga di Felda Sungai Lui di sini dijangkiti wabak Covid-19 sehingga kehilangan seorang ahli keluarga perlu dijadikan iktibar kepada masyarakat.

Berkongsi peristiwa itu, mangsa Covid-19 Mohamad Zulfahmi Hamdan, 29 berkata, dia kehilangan bapanya Hamdan Hajri, 66 pada 7 Jun lepas akibat wabak itu dan ternyata memberi kesan mendalam kepada adik beradik dan ibunya, Norsiah Ibrahim, 63.

Anak keenam daripada tujuh beradik itu memberitahu, kesemua adik-beradiknya tinggal serumah dan mula dijangkiti apabila salah seorang kakaknya disahkan positif wabak selepas menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19.

Menurutnya, mereka sekeluarga seramai 12 orang melakukan saringan dan kesemuanya disahkan positif wabak itu.

"Kakak di hantar mendapatkan rawatan di Hospital Tampin pada 20 Mei manakala mak dan abah dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban (HTJ). Mereka dipisahkan kerana mak ada penyakit kencing manis dan memerlukan rawatan awal manakala sembilan ahli keluarga yang lain dikuarantin di rumah," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Mohamad Zulfahmi berkata, bapanya kemudiannya di hantar ke pusat kuarantin di Port Dickson tetapi keadaannya semakin merosot lalu dibawa semula ke HTJ.

"Pada 2 Jun lepas dapat telefon abah, dia minta kami membacakan surah Yasin. Keesokannya doktor maklumkan keadaan paru-paru abah semakin sempit dan keadaan kritikal sehingga doktor terpaksa menambah dos oksigen. Kami sempat membuat panggilan video terakhir sebelum abah dikomakan," katanya yang ketika kejadian berada di rumah mentuanya di Muar, Johor.

Artikel Berkaitan:

Bapa Zulfahmi dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Sungai Lui.
Bapa Zulfahmi dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Sungai Lui.

Katanya, setelah tiga hari tiada berita dari hospital dan pada 7 Jun lepas jam 3.10 pagi mereka mendapat panggilan memaklumkan bapanya meninggal dunia pada jam 2.47 pagi.

"Sebelum itu kami berusaha menelefon dan menghantar WhatsApp untuk bertanya khabar tetapi tiada jawapan sehingga menerima panggilan abah sudah tiada. Keadaan itu mengejutkan malah seperti tidak percaya tetapi kami reda.

"Pada awalnya, kami tidak memaklumkan perkara itu kepada mak kerana tidak mahu dia bimbang dan terkejut. Alhamdulillah selepas satu minggu mak dibenarkan pulang pada 14 Jun lepas dan kami hanya cakap abah 'OK' di hospital," katanya.

Katanya, keesokannya mereka berkumpul adik-beradik untuk memaklumkan keadaan bapanya namun ibunya pengsan sebaik mengetahui sudah seminggu kejadian berkenaan.

Bagaimanapun, ibunya kini sudah boleh menerima kenyataan itu dan reda dengan ketentuan ALLAH SWT.

"Tiada siapa pun inginkan wabak ini tersebar sehingga ada ahli keluarganya meninggal dunia. kami berharap masyarakat tidak memandang serong terhadap keluarga kami, tidak menyebarkan berita tidak benar dan menghukum kami sehingga menyebabkan gangguan emosi sebaliknya seharusnya saling mengambil berat dan bukannya membenci," katanya.