Wakil rakyat bukan pegawai kebajikan

Dari atas, kiri: Pegawai Projek INPUMA, Xiu Heng Koh; Edmund; Pengarah Eksekutif INPUMA, Profesor Dr Shakila Yacob; Anis; Akhbar dan Farah dalam program webinar Bicara Polisi pada Rabu.
Dari atas, kiri: Pegawai Projek INPUMA, Xiu Heng Koh; Edmund; Pengarah Eksekutif INPUMA, Profesor Dr Shakila Yacob; Anis; Akhbar dan Farah dalam program webinar Bicara Polisi pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Mentaliti yang menganggap ahli Parlimen atau wakil rakyat sebagai tempat untuk mengadu mengenai perkara berkaitan kebajikan perlu diubah daripada pemikiran masyarakat Malaysia sekiranya mahu membebaskan politik negara daripada amalan rasuah dan politik wang.

Pengasas dan Presiden Persatuan Pemeriksa Penipuan Bertauliah (ACFE)-Cawangan Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar berkata, sikap sedemikian menyebabkan ahli Parlimen perlu mendapatkan pembiayaan kewangan yang tinggi untuk aktiviti politik mereka.

Akhbar
Akhbar

Menurut beliau, pemikiran tersebut tidak sepatunya diamalkan kerana tugas utama wakil rakyat adalah untuk menggubal undang-undang di peringkat Parlimen.

“Pemikiran rakyat yang memperlakukan ahli politik seperti pegawai kebajikan mendorong atau menyebabkan mereka perlu mengumpulkan duit. Ada seorang menteri yang memberitahu saya, dia perlu membelanjakan sebanyak RM100,000 di kawasannya setiap bulan.

“Tahu sebab apa? Ini kerana semua datang dekat dia untuk minta duit. Baiki motor dan nak pergi ke Kuala Lumpur pun minta duit. Jadi kalau kita ada mentaliti macam ini, habis le,” katanya ketika menjadi panelis program webinar Bicara Polisi bertajuk Risiko Rasuah: Pembiayaan Politik dan Akauntabiliti pada Rabu.

Program yang dianjurkan oleh Institute of Public Policy and Management (INPUMA), Universiti Malaya itu dimoderatorkan oleh Felow Utama Institut Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia, Datuk Dr Anis Yusal Yusoff.

Turut menjadi panelis ialah Timbalan Ketua Pengarah (Bahagian Tugas-tugas Khas dan Parlimen) Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), Farah Adura Hamidi dan Dekan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya, Profesor Dr Edmund Terence Gomez.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Akhbar menjelaskan, usaha mengubah mentaliti terhadap wakil rakyat itu merupakan langkah jangka panjang yang perlu dilakukan oleh rakyat negara ini selain daripada tindakan jangka pendek melalui penguatkuasaan undang-undang.

Sehubungan itu, beliau berkata, ia perlu dimulakan melalui penerapan nilai yang dibuat melalui pendidikan sejak kecil dengan penglibatan pelbagai pihak termasuk sekolah dan ibu bapa di rumah.