'Jangan pandang rendah Ecuador'

Lionel Scaloni FOTO: AFP
Lionel Scaloni FOTO: AFP
A
A
A

PENGENDALI Argentina, Lionel Scaloni tidak mahu pemain-pemain La Albiceleste memandang rendah keupayaan Ecuador apabila kedua-dua pasukan berentap pada pusingan lapan terbaik Copa America 2021 di Stadium Olimpico Pedro Ludovico, Goiânia hujung minggu ini.

Malah menurut Scaloni, biarpun Argentina mengakhiri kempen peringkat kumpulan berstatus juara, namun peningkatan dipamerkan anak buah Gustavo Alfaro tidak boleh di pandang sepi kuasa bola sepak Amerika Selatan itu.

"Ecuador dibarisi gandingan pemain senior dan sejumlah junior, namun kemaraan mereka ke saingan kalah mati sesuatu yang perlu diberikan perhatian semua pasukan termasuk Argentina.

"Pemain-pemain junior mereka ternyata antara yang akan memberi impak kepada bahagian serangan dan tengah pada perlawanan ini sekiranya pemain-pemain Argentina mengambil sikap sambil lewa.

"Peningkatan prestasi Ecuador sesuatu yang boleh dihormati kerana semangat, kesungguhan dan tidak menyerah kalah menjadi kekuatan mereka pada saingan kali ini," katanya.

Tambah Scaloni lagi, beliau secara keseluruhan berpuas hati dengan peningkatan dipamerkan pemain-pemain Argentina sepanjang kempen fasa kumpulan walaupun mendapat kritikan setelah bermula longlai berbanding penyandang juara Brazil.

"Tiga kemenangan, satu seri dalam fasa kumpulan sebelum ini sesuatu yang boleh dibanggakan walaupun terpaksa pemain-pemain terpaksa beraksi dalam keadaan padang yang menjejaskan momentum mereka.

"Paling penting pemain-pemain berjaya mencipta deretan peluang menjaringkan gol biarpun kesudahannya permukaan padang menjadi penghalangnya pada Copa America kali ini.

Artikel Berkaitan:

"Sejujurnya, mesej mentaliti kemenangan yang ingin saya terapkan dalam kalangan pemain-pemain Argentina pada kejuaraan ini berjaya diterjemahkan dengan sempurna pada peringkat fasa kumpulan," ujarnya yang berharap isu kualiti padang tidak lagi berlaku pada fasa suku akhir.