Hina Nabi: Aktivis Islam serah memorandum kepada TYT

Seramai 100 aktivis Islam berbincang dengan polis untuk menyerahkan memorandum kepada TYT tadi.
Seramai 100 aktivis Islam berbincang dengan polis untuk menyerahkan memorandum kepada TYT tadi.
A
A
A

GEORGETOWN- Selepas berkumpul di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) semalam, kumpulan yang sama iaitu 150 aktivis Islam berkumpul di hadapan kediaman Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Sri Mutiara di sini petang tadi.

Kumpulan itu mula berkumpul sejak jam 5.30 petang bagi menyerahkan memorandum kepada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang (TYT), Tun Abdul Rahman Abbas berhubung penghinaan Nabi Muhammad SAW di media sosial oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Memorandum tersebut diserahkan oleh Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pulau Pinang, Azdy Mohd Arshad kepada Setiausaha Sulit TYT, Mohd Abdul Rahman Ismail.

Menurut Azdy, terdapat lima tuntutan yang disenaraikan dalam memorandum berkenaan iaitu memohon Abdul Rahman membawa isu penghinaan ALLAH SWT, Nabi Muhammad SAW dan Islam dibawa kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Mesyuarat Raja-raja Melayu akan datang untuk dibincangkan.

"Kami juga memohon agar Tun menyampaikan desakan umat Islam Pulau Pinang agar mengarahkan Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan polis bertindak lebih agresif dan proaktif dengan menahan mereka yang membuat penghinaan tersebut.

"Selain itu, kami berharap Tun dapat mencadangkan kepada kerajaan supaya mengenakan hukuman berat serta tidak diberikan keampunan kepada mereka yang membuat penghinaan terhadap ALLAH SWT, Nabi Muhammad SAW dan Islam Ia bagi memberi teladan kepada rakyat supaya tidak sesekali menghina agama Islam," katanya kepada media tadi.

Azdy (kanan) mewakili 150 aktivis Islam menyerahkan memorandum kepada Mohd Abdul Rahman tadi.
Azdy (kanan) mewakili 150 aktivis Islam menyerahkan memorandum kepada Mohd Abdul Rahman tadi.

Tambahnya, memorandum itu turut menuntut agar Tun mencadangkan kepada kerajaan untuk memperketatkan penguatkuasa undang-undang terhadap kesalahan menghina Islam.

Artikel Berkaitan:

"Jika perlu, kami meminta agar undang-undang khas berkaitan penghinaan terhadap agama Islam digubal sejajar dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan iaitu Islam adalah agama Persekutuan.

"Tuntutan terakhir kami adalah memohon Tun mencadangkan kepada kerajaan supaya menggantikan Peguam Negara, Tommy Thomas kerana beliau gagal menjalankan tugas dengan telus, adil dan saksama.

"Integriti dan kemampuan beliau juga diragui apabila gagal menangani kes berkaitan penghinaan terhadap Islam dengan efektif," katanya.

Perhimpunan itu berjaya disuraikan oleh polis selepas penyerahan memorandum berkenaan diserahkan namun perkhidmatan anggota Unit Tempur Ringan (LSF) telah digunakan sebagai persediaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Semalam, lebih 100 aktivis Islam berkumpul di hadapan IPDTL bagi mendesak polis menahan semula lelaki berusia 68 tahun yang didapati telah menghina Nabi Muhammad SAW di Facebooknya, 18 Februari lalu.

Lelaki itu ditahan kerana memuat naik gambar karikatur berunsur penghinaan ke atas Nabi Muhammad SAW dan isteri, Saidatina Aisyah di Facebook namun telah dibebaskan dengan jaminan polis.