Bantuan bakul makanan terus kepada ahli Parlimen cepatkan pemberian

Wan Junaidi Tuanku Jaafar
Wan Junaidi Tuanku Jaafar
A
A
A

KUCHING - Pemberian bantuan bakul makanan bernilai RM300,000 secara terus kepada ahli Parlimen dapat melancarkan proses pemberian kepada penerima yang memerlukan, kata Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Katanya setiap Parlimen mempunyai pejabat pusat khidmatnya sendiri yang mempunyai data terperinci mengenai jumlah keluarga yang susah di samping memahami keperluan penduduk di situ.

Menurutnya proses pemberian juga bakal menjadi lebih cepat kerana dapat mengurangkan birokrasi sekiranya perlu melalui pihak atau kementerian tertentu.

“Ahli Parlimen mempunyai pasukan di pusat khidmat mereka dan semestinya mereka ini lebih dekat dengan penduduk dan menurut saya kerajaan juga sudah belajar daripada pemberian bakul makanan sebelum ini untuk melancarkan proses,” katanya yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi kepada Bernama pada Khamis.

Menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang diumum kerajaan pada 28 Jun, sebanyak RM300,000 diperuntukkan kepada setiap Ahli Parlimen termasuk daripada pembangkang untuk melaksanakan Bantuan Bakul Makanan kepada golongan terjejas di kawasan masing-masing.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika membuat pengumuman tersebut menjelaskan langkah itu diambil kerana kerajaan menyedari kepentingan barangan keperluan asas rakyat dan mengambil sikap mengetepikan perbezaan politik dalam soal menyampaikan bantuan.

Sebanyak RM10 juta turut diperuntukkan bagi tujuan melaksanakan Bantuan Bakul Makanan khusus untuk masyarakat orang asli. - Bernama

Artikel Berkaitan: