Dasar 4IR bangunkan Malaysia negara berteknologi tinggi pada 2030

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
A
A
A

SHAH ALAM- Inisiatif membangunkan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara dilihat sebagai komitmen kerajaan untuk mempersiapkan masyarakat dan perniagaan menghadapi cabaran dan memanfaatkan peluang yang terhasil daripada revolusi perindustrian ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, dasar ini akan memacu usaha untuk melaksanakan agenda 4IR melalui transformasi teknologi bagi pembangunan sosioekonomi rakyat dan negara.

Menurutnya, dasar yang dibina berdasarkan pendekatan menyeluruh negara melalui kerjasama rakyat-swasta-awam ini akan menangani cabaran serta mengoptimumkan peluang era digital berkaitan pembangunan ekonomi, sosial dan alam sekitar.

“Kerajaan telah mengenalpasti lima teknologi teras untuk membina keupayaan tempatan iaitu kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT), blockchain dan teknologi lejar teragih (DLT), bahan termaju dan disokong oleh pengkomputeran awan (cloud computing) dan analisis data raya (Big Data Analytics, BDA).

“Kesemua lima teknologi teras ini sememangnya telah memberi kesan kepada kehidupan seharian dan cara kita melakukan sesuatu perkara sama ada melalui big data analytics, AI, cloud computing, blockchain mahupun IoT, kesemuanya telah membantu manusia daripada segi perancangan, pelaksanaan mahupun keputusan.

“Walaupun Malaysia bukanlah negara yang paling terkehadapan dalam pengadaptasian teknologi, namun Malaysia juga bukanlah negara yang terkebelakang,” katanya ketika Majlis Pelancaran Dasar 4IR yang diadakan dalam talian pada Khamis.

Mengulas lanjut beliau menjelaskan, dasar yang dibina berdasarkan pendekatan menyeluruh negara melalui kerjasama rakyat-swasta-awam itu akan menangani cabaran serta mengoptimumkan peluang era digital berkaitan pembangunan ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Tambahnya, Dasar 4IR yang komprehensif diperlukan untuk menyedia serta melengkapkan rakyat dengan set pengetahuan dan kemahiran 4IR, di samping meningkatkan lagi produktiviti tenaga kerja.

Artikel Berkaitan:

“Laporan Bank Dunia menunjukkan kemahiran manusia kini semakin digantikan dengan produktiviti yang dipacu oleh teknologi.

“Ini tidak dapat dielakkan kerana bahan dalam bentuk digital dan automasi kini merupakan elemen penting dalam pekerjaan,” katanya.

Oleh itu, kata Khairy Jamaluddin adalah penting bagi tenaga kerja hari ini untuk memanfaatkan teknologi 4IR dan melaksanakan inovasi digital untuk berkembang maju dalam persekitaran kerja yang pesat berubah.

Ujar beliau, Dasar 4IR Negara juga dijajarkan dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 bertujuan untuk membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara berteknologi tinggi pada tahun 2030.

Sehubungan itu, Dasar 4IR Negara akan turut memacu aspirasi DSTIN 2021-2030 dalam mewujudkan ekosistem yang melibatkan sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE).

"Walaupun 4IR lebih menjurus kepada teknologi disruptif, dasar ini turut menggariskan beberapa strategi yang akan mengimbangi keperluan mencapai kemajuan teknologi dan menyelesaikan masalah sosial," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Revolusi Industri Keempat dijangka tingkatkan 30 peratus produktiviti