X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 29 Jun 2022

Pemilik syarikat minyak masak, adik didakwa ubah wang haram

Kedua-dua tertuduh didakwa atas pertuduhan menerima wang RM218,524.80 hasil pengubahan wang haram.
A
A

ALOR SETAR - Seorang pemilik syarikat pembungkusan minyak masak subsidi bergelar Datuk dituduh di Mahkamah Sesyen Alor Setar, di sini hari ini atas pertuduhan menerima wang berjumlah RM218,524.80 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Tertuduh, Datuk Mohd Farid Mohamad Ali, 42, dan adiknya, Mohd Fadhil, 38, didakwa mengikut Subseksyen 4(1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001 dan dibaca bersama subseksyen 87(1)(a) akta sama dan seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua tertuduh didakwa atas pertuduhan bersama melakukan kesalahan itu, di lokasi dan tarikh sama.

Mohd Farid dan Mohd Fadhil membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Tan Siew Ping manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Nor Izzat Nordin dan Keshwinder Singh.

Mahkamah Sesyen Alor Setar telah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama kesalahan yang telah dituduh pada 25 Jun lalu.

Kedua-dua tertuduh kemudian diikat jamin sebanyak RM10,000 setiap seorang dan sebutan semula kes ditetapkan pada 1 September depan.

Pada 25 Jun, kedua-dua tertuduh telah didakwa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas 52 pertuduhan berhubung tuntutan palsu pembekalan minyak masak kepada syarikat-syarikat peruncit lebih RM1.57 juta, dua tahun lalu.

Mohd Farid dan Mohd Fadhil didakwa memberikan dokumen palsu iaitu Penyata Tuntutan Bayaran Bantuan Kewangan Kepada Kilang Penapis/Pembungkus Minyak Masak Sawit Tulen yang mengandungi butiran matan palsu kepada tiga kakitangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) iaitu maklumat penjualan minyak masak kepada syarikat-syarikat peruncit yang mana tertuduh tahu penjualan minyak masak itu sebenarnya mengandungi matan palsu, kesemuanya bernilai RM1.57 juta.

ARTIKEL BERKAITAN: Datuk, adik didakwa buat tuntutan palsu minyak masak subsidi


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!