X

Kindly register in order to view this article
!

Datuk, adik didakwa buat tuntutan palsu minyak masak subsidi

Mohd Farid (dua, kanan) hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan membuat tuntutan palsu pembekalan minyak masak kepada syarikat-syarikat peruncit lebih RM1.57 juta, dua tahun lalu.
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pemilik syarikat pembungkusan minyak masak subsidi bergelar Datuk dan adiknya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas 52 pertuduhan membuat tuntutan palsu pembekalan minyak masak kepada syarikat-syarikat peruncit lebih RM1.57 juta, dua tahun lalu.

Datuk Mohd Farid Mohamad Ali, 42, dan adik lelakinya, Mohd Fadhil, 38, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-52, Mohd Farid yang juga pemilik syarikat, didakwa memberikan suatu dokumen iaitu Penyata Tuntutan Bayaran Bantuan Kewangan Kepada Kilang Penapis/Pembungkus Minyak Masak Sawit Tulen yang mengandungi butiran matan palsu.

Ia bagi tempoh antara Januari 2019 hingga Mac 2020 kepada tiga kakitangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) iaitu maklumat penjualan minyak masak kepada syarikat-syarikat peruncit yang mana tertuduh tahu bahawa penjualan minyak masak itu sebenarnya mengandungi matan palsu, yang kesemuanya bernilai RM1.57 juta.

Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan Mohd Farid di pejabat bahagian Subsidi dan Bekalan, Cawangan Analisa Perakaunan Industri, Bahagian Perdagangan Dalam Negeri, KPDNHEP, Putrajaya, antara Januari 2019 hingga Mac 2020.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta SPRM yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mohd Farid turut mengaku tidak bersalah atas 52 pertuduhan pilihan iaitu memalsukan invois dan dokumen penghantaran yang terkandung dalam Penyata Tuntutan Bayaran Kewangan kepada kilang sama dengan niat supaya dokumen palsu tersebut digunakan untuk tujuan hendak menipu yang dilakukan di lokasi dan tarikh dengan jumlah sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mohd Farid juga membuat pengakuan sama terhadap satu lagi pertuduhan menerima wang berjumlah RM192,433.20 daripada akaun Hong Leong Bank milik KPDNHEP yang merupakan hasil daripada aktiviti haram ke akaun Bank Islam milik Syarikat Temasek Growth Sdn Bhd yang mana dia merupakan pengawal akaun syarikat itu.

Kesalahan didakwa dilakukan di Bank Islam Malaysia Berhad cawangan Menara Bank Islam Kuala Lumpur antara 19 Mac hingga 19 Oktober 2019.

Dia didakwa mengikut Subseksyen 4(1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001 dan dibaca bersama dengan subseksyen 87(1)(a) akta sama yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta yang sama.

Ia memperuntukkan penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda hasil aktiviti haram atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, adik tertuduh, Mohd Fadhil didakwa atas 52 pertuduhan bersubahat dengan Mohd Farid untuk melakukan kesalahan sama, di lokasi dan tarikh sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 28(1)(c) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan yang palsu atau silap, atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan, jika sabit kesalahan.

Mohd Fadhil juga membuat pengakuan sama terhadap 52 pertuduhan pilihan iaitu bersubahat dengan Mohd Farid untuk memalsukan dokumen sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 107 kanun sama yang membawa hukuman serupa.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Azmi dan Maziah Mohaide manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela, Muhammad Nor Izzat Nordin dan Keshvinder Singh.

Mahkamah membenarkan Mohd Farid diikat jamin RM150,000 bagi kesemua pertuduhan manakala Mohd Fadhil sebanyak RM100,000.

Mahkamah menetapkan 1 September depan untuk sebutan semula kes.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!