China diiktiraf WHO sebagai negara bebas malaria

China berjaya memerangi penyakit malaria selepas ia mencatatkan 30 juta kes penyakit itu pada tahun 1940-an. - Foto AFP
China berjaya memerangi penyakit malaria selepas ia mencatatkan 30 juta kes penyakit itu pada tahun 1940-an. - Foto AFP
A
A
A

GENEVA - China diiktiraf bebas malaria pada Rabu oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berikutan usahanya bagi menghapuskan penyakit yang disebabkan oleh gigitan nyamuk itu selama 70 tahun.

Negara tersebut telah mencatatkan 30 juta kes penyakit malaria pada tahun 1940-an tetapi sejak empat tahun lalu ia tidak lagi melaporkan kes penyakit itu.

"Kami mengucapkan tahniah kepada rakyat China kerana menyingkirkan penyakit malaria dari negara itu," kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus seperti dilaporkan oleh AFP.

Negara-negara yang mencatatkan sifar kes malaria sekurang-kurangnya selama tiga tahun boleh memohon untuk mendapatkan pengiktirafan status bebas penyakit itu.

China menjadi negara ke-40 di dunia yang diiktiraf WHO kerana berjaya menangani penyakit malaria.

Negara-negara yang baharu mendapat status sebagai bebas malaria ialah El Salvador, Algeria, Argentina, Paraguay dan Uzbekistan.

Negara-negara yang telah mana mendapat status bebas malaria daripada WHO ialah Australia, Singapura dan Brunei.

Seramai 736,000 orang di seluruh dunia meninggal dunia akibat penyakit malaria pada tahun 2000 sebelum ia merosot kepada 411,000 pada tahun 2018 dan 409,000 pada tahun 2019.

Artikel Berkaitan:

Lebih 90 peratus kematian akibat penyakit malaria datangnya dari benua Afrika dengan kebanyakannya ialah kanak-kanak. - Agensi