X

Kindly register in order to view this article
!

Perluas diskusi rasuah, bantu belia tambah ilmu

Gambar kecil: Huzayl
A
A

SHAH ALAM - Program diskusi literasi rasuah perlu diperluas bagi mengelakkan individu terutamanya golongan belia daripada terjebak dalam gejala rasuah.

Presiden Persatuan Belia Harmoni Malaysia (Harmoni), Huzayl Mohd Noor Sia berkata, program diskusi seperti yang pernah dilaksanakan oleh Sinar Harian, Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Ikram Malaysia (Ikram) dilihat amat membantu golongan belia dalam menambahkan ilmu berkaitan rasuah.

Menurutnya, program seumpama itu amat perlu memandangkan masih ramai golongan belia pada masa ini belum celik mengenai budaya rasuah yang berleluasa ketika ini.

“Jika kita lihat, ramai belia yang masih tidak dapat membezakan apa itu rasuah berbanding hadiah, pemberian dan sebagainya.

“Mereka terjebak kerana kurang ilmu. Ada sesetengah mereka beranggapan bahawa rasuah itu datang daripada duit walhalnya tidak.

“Jadi sangat penting untuk kita perbanyakkan lagi program diskusi dan literasi mengenai budaya rasuah ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata, apabila banyak program mengenai kesedaran rasuah mahupun literasi dijalankan maka ia secara tidak langsung akan memberi pendidikan kepada orang ramai.

Dalam pada itu, Huzayl berkata, beliau menyokong penuh usaha menangani isu rasuah secara bersama dan digerakkan oleh semua pihak termasuk dalam kalangan masyarakat khususnya belia sendiri.

“Kaedah menangani rasuah secara bersama dengan kesedaran dalam diri setiap individu dapat membantu kita mengekang jenayah ini daripada terus menular,” tegasnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!