X

Kindly register in order to view this article
!

MEDAC guna peruntukan Pemulih bantu PKS terkesan

Wan Junaidi ketika sidang akhbar secara hibrid pada Selasa.
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) akan menggunakan peruntukan RM100 juta daripada Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, peruntukan itu juga akan digunakan untuk melaksanakan program 'First Close, Last To Open' (FCLO) iaitu program pemulihan usahawan mikro yang terlibat dalam perniagaan barangan dan perkhidmatan bukan keperluan utama.

Beliau berkata, program berkenaan hasil kerjasama antara MEDAC dan agensinya iaitu Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional) dan Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN).

“Program Pemulihan FCLO akan menawarkan pembiayaan sehingga RM10,000 kepada peserta dan dijangka akan memanfaatkan seramai 10,000 usahawan. Terkini seramai 1,400 usahawan telah dikenal pasti untuk menyertai program FCLO ini.

“Selain itu, program ini turut memberikan penyelesaian menyeluruh kepada peserta iaitu khidmat nasihat dan perundingan secara berstruktur, bimbingan dan latihan serta pembiayaan dan pemantauan,” katanya ketika sidang akhbar secara hibrid pada Selasa.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, program berkenaan akan diberi keutamaan kepada sembilan jenis perniagaan; antaranya penjagaan ibu bersalin, 'spa and wellness', kedai buku dan alat tulis, gunting rambut, pengurusan acara, katering, pusat tuisyen, cucian kereta, jahitan dan perabot serta pertukangan kayu.

“MEDAC amat peka dengan masalah dan cabaran yang dihadapi usahawan dalam sektor 'non-essential' ini yang mewakili hampir 90 peratus dari sektor PKS di Malaysia.

“Sekiranya kita tidak membantu kumpulan ini, ada kemungkinan empat juta daripada mereka akan kehilangan pekerjaan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, lebih 80 peratus usahawan FCLO terdiri daripada golongan B40 dan kebanyakan mereka tidak mempunyai wang simpanan, malah tidak mempunyai faedah pekerjaan seperti insurans, pelan perlindungan dan jaringan keselamatan.

Menurutnya, pihaknya juga sedang berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk melonggarkan syarat-syarat berkenaan dengan isu muflis membabitkan usahawan PKS yang terkesan akibat Covid-19.

“Bila mereka tidak dapat berniaga, mereka akan menghadapi masalah aliran tunai dan tidak dapat membayar pinjaman sewa serta pelbagai lagi perbelanjaan. Jika 'lockdown' ini berlanjutan, ramai usahawan bakal isytihar muflis.

“Saya juga difahamkan usahawan wanitalah yang paling ramai mengalami masalah ini kerana kebanyakan mereka berniaga barangan dan perkhidmatan 'non-essential'.

“Justeru, kami masih lagi berbincang hal ini dengan Kementerian Kewangan. Ia tidak mustahil. Setakat ini negara maju seperti Amerika Syarikat ada mewujudkan program khas untuk usahawan yang muflis akibat pandemik Covid-19,” katanya.

-end-


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!