Unjuran KDNK 2021 akan diteliti semula: Jabatan Perangkaan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Unjuran rasmi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) antara 6.0 peratus hingga 7.5 peratus yang disasarkan bagi 2021 akan diteliti semula, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, penelitian semula itu akan mengambil kira senario ancaman pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara yang sedang dijalankan sekarang dan unjuran baharu akan diumumkan pada 13 Ogos depan bersempena dengan pengumuman prestasi suku kedua KDNK negara.

“Kita jangka angka-angka ini akan diteliti. Mungkin selepas ini kita akan lihat apakah kesan akibat penularan Covid-19 kepada ekonomi dengan lebih komprehensif.

“Terdapat banyak aktiviti-aktiviti yang terkesan pada masa ini terutamanya yang berkaitan dengan perkhidmatan, rekreasi, pelancongan dan pembinaan,” katanya pada sidang akhbar secara maya mengenai Prestasi Ekonomi Mengikut Negeri 2020 di sini pada Selasa.

Bagaimanapun, Mohd Uzir berkata, terdapat banyak peluang dalam sektor pertanian seperti penanaman buah-buahan, sayur-sayuran, penternakan serta perikanan yang boleh diambil kesempatan susulan peningkatan permintaan di peringkat dunia.

"Namun begitu terdapat kekangan dari segi kekuatan dan kelancaran pengeluaran sektor tersebut," katanya.

Justeru, menurut beliau, teknik-teknik pengeluaran perlu dipertingkatkan lagi bagi membantu melonjakkan sektor pertanian.

Beliau menyarankan negeri-negeri yang sedang berusaha untuk memulihkan ekonomi masing-masing agar mencari jalan bagaimana boleh meningkatkan sektor pertanian dari aspek pengeluaran dan pemasaran yang melibatkan pertanian moden.

Artikel Berkaitan:

Mohd Uzir berkata, pada 2020, prestasi ekonomi semua negeri termasuk Wilayah Persekutuan (WP) mencatatkan pertumbuhan KDNK negatif.

Namun begitu, katanya, berapa negeri masih mampu merekodkan pertumbuhan positif bagi sektor pertanian iaitu Melaka yang berkembang 3.7 peratus, Johor (3.1 peratus), Pahang (1.6 peratus), Perak (1.4 peratus), Selangor (0.3 peratus) dan Kelantan (0.2 peratus).

Tambahnya, aktiviti tanaman yang dipelopori oleh kelapa sawit dan sayur-sayuran merupakan antara pendorong utama kepada pertumbuhan positif sektor pertanian di negeri tersebut. - Bernama