X

Kindly register in order to view this article
!

Pahang negeri terbaik pelihara hutan

Daripada 2.057 juta hektar kawasan berhutan itu, sebanyak 551,528 hektar telah diwartakan sebagai Hutan Perlindungan atau Kawasan Tadahan Air yang langsung tidak boleh 'disentuh’, apatah lagi bagi kerja-kerja pembalakan.
A
A
IBARAT ‘air setitik dilautkan, tanah sekepal digunungkan’ atau missing the forest for the trees. Inilah bidalan yang boleh dirujukkan kepada segelintir pihak yang gemar memberikan gambaran buruk tentang aspek penjagaan hutan di Pahang.

Di sebalik itu, ia masih tidak dapat menidakkan hakikat Pahang adalah antara negeri terbaik memelihara hutan seperti mana diperakui oleh Majlis Pembangunan Fizikal Negara (MPFN), khususnya mesyuarat pada Mac 2019.

Seperti yang kita ketahui, Pahang merupakan negeri terbesar di Semenanjung Malaysia berkeluasan 3.6 juta hektar atau bersamaan keluasan gabungan tiga negeri iaitu Kelantan (1.5 juta hektar), Terengganu (1.3 juta hektar) dan Selangor (793,000 hektar).

Pada mesyuarat MPFN tersebut telah dimaklumkan, Pahang merupakan penyumbang terbesar kawasan berhutan atau forested area dalam kalangan negeri-negeri Semenanjung Malaysia dengan keluasan sebanyak 2.057 juta hektar atau 57.2 peratus daripada keluasan negeri ini.

Daripada 2.057 juta hektar kawasan berhutan itu, sebanyak 551,528 hektar telah diwartakan sebagai Hutan Perlindungan atau Kawasan Tadahan Air yang langsung tidak boleh 'disentuh’, apatah lagi bagi kerja-kerja pembalakan.

Kawasan seluas 2.057 juta hektar itu hanya kecil sikit dari negeri Perak iaitu negeri kedua terbesar di Semenanjung Malaysia yang berkeluasan 2.1 juta hektar, manakala 551,528 hektar pula adalah lebih lima kali ganda saiz Pulau Pinang yang berkeluasan kira-kira 103,104 hektar.

Usaha penjagaan hutan berkenaan pula turut meliputi kawasan tanah tinggi seperti Cameron Highlands. Pada 9 Oktober 2019, Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri bersetuju mewartakan kawasan hutan seluas 2,289.62 hektar sebagai Hutan Taman Negeri di sana.

Ia menjadikannya Hutan Taman Negeri kedua terbesar di negeri ini selepas Hutan Simpan Taman Negeri Rompin yang berkeluasan kira-kira 31,797 hektar yang diwartakan sejak tahun 2000.

Hidupan liar

Demi memelihara hidupan liar pula, kerajaan negeri meluluskan kawasan kira-kira 127.893 hektar di Sungai Yu, Mukim Batu Yon, Lipis sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK) bagi melindungi hidupan liar termasuk Harimau Malaya.

Keputusan ‘mesra-alam’ dan ‘mesra-hidupan liar’ dibuat dalam mesyuarat MMK Negeri pada 27 November 2019 dan telah menerima sambutan baik termasuk dalam kalangan badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan.

Dalam pada itu pun, diam tak diam, kerajaan negeri telah mewartakan kira-kira 1.55 juta hektar di seluruh negeri ini sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK), menjadikan Pahang sebagai negeri yang mempunyai kawasan HSK terluas di Semenanjung Malaysia.

Ia adalah hakikat yang tidak boleh disangkal dan angka tersebut (1.55 juta hektar) kekal stabil sungguhpun setiap tahun tidak dinafikan, sumber hutan masih menjadi punca pendapatan hasil negeri.

Kestabilan itu disebabkan kerajaan negeri mempraktikkan pengurusan hutan secara berkekalan atau sustainable forest management yang menerusinya, kawalan ke atas hasil hutan dilaksanakan bagi menjamin agar kawasan hutan tetap terpelihara.

Di kawasan hutan yang boleh dibalak sekalipun, ia sentiasa diaudit di bawah Skim Persijilan Kayu Malaysia (MTCS) kendalian Majlis Persijilan Kayu Malaysia (MTCC) yang mengeluarkan Malaysia Criteria and Indicators For Forest Management Certification’ (MC&I). Amat membanggakan sejak 2002, Pahang terus kekal menerima persijilan tersebut dan terkini, susulan pengauditan bermula 25 Februari hingga 2 Mac 2019, sijil MC&I dilanjutkan untuk tempoh lima tahun lagi bermula 1 Jun 2019 hingga 31 Mei 2024, sekali gus membuktikan tentang baiknya pengurusan hutan di Pahang.

Malah, kerajaan negeri turut berbangga kerana Pahang masih akur dan tidak melakukan pembalakan melebihi Catuan Tebangan Tahunan (CTT) yang dibenar serta ditetapkan oleh Majlis Tanah Negara (MTN).

Balak

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11, 2016-2020) misalnya, CTT yang ditetapkan adalah seluas 13,687 hektar, namun untuk tahun 2019 sahaja, luas kawasan yang dibalak masih jauh daripada yang ditetapkan iaitu cuma 10,313 hektar.

Dalam pada itu pun, kerajaan negeri tidaklah berada dalam denial mode terutama mengenai gejala penerokaan haram ke atas tanah dan kawasan hutannya yang menyumbang kepada persepsi negatif oleh segelintir pihak.

Oleh itulah, kerajaan negeri sentiasa mengambil maklum dan segera melaksanakan tindakan penguatkuasaan ke atas apa sahaja laporan yang diterima berkaitan penerokaan atau pencerobohan tanah mahupun hutan secara haram di negeri ini.

Usaha dan kejayaan kerajaan negeri menangani serta mengatasi masalah penerokaan tanah haram di Cameron Highlands khususnya di Sungai Ichat baru-baru ini misalnya, sememangnya menjadi ‘model’ kepada usaha-usaha kerajaan negeri seterusnya dalam menangani gejala tersebut.

Inilah yang diharap dapat membuka mata pihak-pihak berkenaan. Kejayaan tersebut adalah kerana ketegasan dan political will yang tinggi oleh kerajaan negeri dalam usaha memastikan isu penerokaan tanah haram di kawasan tanah tinggi itu, malah di tempat-tempat lain sekali pun akan dapat ditangani dan diselesaikan dengan jaya.

* Datuk Abdul Wahab Mohamad Ali ialah Setiausaha Akhbar Menteri Besar Pahang


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!