X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 24 Mei 2022

Tiada perbincangan status Cheng Hoe

Tan Cheng Hoe - Foto FB FAM
A
A

KEDUDUKAN ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe menjelang pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 masih selamat apabila sehingga kini tiada perbincangan mengenai perkara berkenaan.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, Cheng Hoe masih mempunyai baki kontrak sehingga Disember 2022, selain misi membawa skuad Harimau Malaya layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

Mohd Yusoff yang juga pengurus skuad kebangsaan berkata, hala tuju pasukan negara termasuk persiapan menghadapi kempen pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 hanya dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Bola Sepak Kebangsaan akan datang.

“Sebenarnya tiada perbincangan ke arah itu, cuma tempoh hari kita bercakap soal pemain, iaitu prestasi beberapa pemain tidak seperti yang dijangka serta apa perlu dilakukan pasukan selepas ini. Mengenai ketua jurulatih, belum ada perbincangan.

“Cheng Hoe masih ada kontrak sampai tahun depan dan kita masih belum habis lagi misi untuk layak ke Piala Asia,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.

Bagaimanapun, Mohd Yusoff berkata, tiada jaminan topik mengenai kedudukan ketua jurulatih pasukan kebangsaan itu tidak dibangkitkan pada mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Bola Sepak Kebangsaan.

Beliau berkata, bagi memastikan misi ke Piala Asia 2023 tercapai, pelbagai perkara akan diberi penelitian demi memastikan skuad kebangsaan dipersiapkan ke tahap optimum sebelum mengharungi kempen kelayakan.

“Kalau jawatankuasa bersidang mesti semua perkara akan dibincangkan,” katanya.

Dengan perkembangan tersebut, ia sekali gus menepis khabar angin bahawa FAM sedang mencari calon ketua jurulatih baharu bagi membimbing skuad Harimau Malaya.

Pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 baru-baru ini, Cheng Hoe membimbing Malaysia menamatkan kempen di tempat ketiga Kumpulan G sekali gus mara secara automatik ke pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023, yang dijadual berlangsung pada Mac tahun depan.

Kali terakhir Malaysia beraksi di pentas Piala Asia adalah ketika menjadi tuan rumah bersama pada edisi 2007, namun sudah lebih 40 tahun Malaysia gagal mara secara merit ke Piala Asia sejak edisi 1980 di Kuwait.

Sebelum ini, Cheng Hoe yang dilantik sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan pada Disember 2017 dilanjutkan kontraknya sehingga penghujung 2022 berdasarkan perubahan positif dibawa dalam pasukan, termasuk memberi nafas baharu dalam corak permainan skuad negara. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!