Siap sedia PKRC menjelang Aidiladha

Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir (dua, kiri) menerima sumbangan pelbagai peralatan bernilai RM114,850 daripada Persatuan Buddist Tzu Chi Malaysia (Kelantan) diwakili Evone Lim dan turut dihadiri oleh Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Datuk Dr Selasawati Ghazali (kanan).
Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir (dua, kiri) menerima sumbangan pelbagai peralatan bernilai RM114,850 daripada Persatuan Buddist Tzu Chi Malaysia (Kelantan) diwakili Evone Lim dan turut dihadiri oleh Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Datuk Dr Selasawati Ghazali (kanan).
A
A
A

KOTA BHARU - Sebanyak 10 buah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) serta tiga PKRC mod berjaga-jaga telah disediakan di negeri ini bagi menghadapi kemungkinan peningkatan kes Covid-19 ketika Hari Raya Aidiladha.

Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir berkata, PKRC sedia ada berkemampuan menampung kapasiti sehingga 2,000 pesakit Covid-19 pada satu-satu masa.

Katanya, berdasarkan pengalaman lepas, PKRC berfungsi baik ketika jumlah pesakit positif Covid-19 secara purata sehingga 400-500 individu setiap hari.

“Setakat ini, ada 736 pesakit Covid-19 di 10 PKRC manakala tiga lagi PKRC diletakkan dalam mod berjaga-jaga iaitu di Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Pasir Mas; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Salor dan SMK Kampung Laut, Tumpat.

“Kita sentiasa bersedia berdepan sekiranya kemungkinan berlaku peningkatan kes pada musim perayaan Aidiladha,” katanya kepada pemberita di PKRC Tanjung Chat, di sini, pada Isnin.

Beliau sebelum itu menerima sumbangan pelbagai peralatan perubatan bernilai RM114,850 daripada Persatuan Buddist Tzu Chi Malaysia (Kelantan) diwakili Evone Lim.

Hadir sama, Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Datuk Dr Selasawati Ghazali.

Beliau berkata, berdasarkan trend kes yang menurun buat masa ini, pihaknya akan menutup PKRC di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) pada 1 Julai ini.

Artikel Berkaitan:

“Katil-katil di PKRC itu akan dipindahkan ke PKRC lain bagi mengoptimumkan PKRC-PKRC yang tinggal bagi menempatkan pesakit Covid-19 kategori satu hingga empat,” katanya.

Dr Mohd Zurairie turut menjelaskan pihaknya mengadakan kerjasama erat dengan Unit Kaunseling HRPZ II dan HUSM bagi memberi bimbingan kepada pesakit Covid-19 menguruskan tekanan.

“Setakat ini, tiada ada kes-kes membabitkan kegagalan menguruskan tekanan membabit pesakit di PKRC.

“Kami di PKRC juga mengadakan selawat beramai-ramai setiap pagi Jumaat yang turut membantu menguruskan emosi ketika berdepan jangkitan Covid-19,” katanya.