Moratorium Pemulih bukan automatik, tanpa faedah: Najib

Najib
Najib
A
A
A

SHAH ALAM - Pemberian moratorium di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) didakwa bukan automatik dan tanpa faedah.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak berkata, moratorium tersebut tidak sama seperti tahun lepas di mana faedah serta penalti bagi pinjaman sewa beli selain pinjaman lain telah dikecualikan.

Selain itu menurut Najib, peminjam biasa masih perlu memohon namun dijanjikan pemberian secara automatik manakala peminjam daripada kategori perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pula masih perlu semakan dan kelulusan bank.

“Perjanjian pindaan syarat-syarat baharu masih perlu ditandatangan dan ini menggambarkan bahawa tempoh bayaran peminjam bakal dilanjutkan bertahun-tahun lagi walaupun tempoh moratorium cuma sehingga enam bulan kerana bank tidak mengecualikan sebarang caj faedah.

“Ini adalah antara aduan yang diterima sejak tahun lepas oleh peminjam yang rasa tertipu dengan bank yang mengambil kesempatan dalam kesempitan.

“Sebab itu, Perdana Menteri suruh fikir baik-baik sebelum memohon moratorium 'automatik' ini sebab ia akan tambah komitmen pada peminjam. Bank tak akan rugi. Malah akan tambah untung,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Isnin.

Mengulas lanjut mengenai pemberian moratorium tersebut, Najib berpandangan, pihak bank perlu membalas budi kepada peminjam dengan mengecualikan faedah ataupun memberi diskaun faedah sehingga 50 peratus bagi tempoh enam bulan moratorium.

Jelas Najib, ia memandangkan banyak bank sebelum ini telah diselamatkan oleh 'bail-out' kerajaan pada krisis tahun 1997 hingga 1998 membolehkan mereka mengaut keuntungan ratusan bilion dalam tempoh 10 tahun lepas.

Artikel Berkaitan:

“Sekali lagi, saya saran kerajaan untuk arah bank untuk henti mengugut peminjam dengan panggilan tiap-tiap hari untuk membayar pinjaman selagi negara di bawah Sekatan Penuh Pergerakan (total lockdown). Jika peminjam lemas, bank juga akan terjejas pada akhirnya,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Kerajaan umum bantuan moratorium enam bulan