Axiata bakal komersialkan teknologi ‘Open RAN’ hujung tahun ini

Gambar hiasan 123RF
Gambar hiasan 123RF
A
A
A

AXIATA Group Berhad (Axiata) bakal mengkomersialkan penggunaan teknologi rangkaian akses radio terbuka (Open RAN) bagi mengurangkan jurang digital dan meningkatkan liputan penyambungan di kawasan luar bandar di seluruh Asia.

Dalam satu kenyataan pada Isnin, Axiata memaklumkan syarikatnya menyasarkan penggunaan teknologi tersebut secara besar-besaran menjelang akhir tahun ini selepas kejayaannya dalam pelaksanaan ujian rintis komersial lapangan di Malaysia, Indonesia dan Sri Lanka.

Naib Presiden Eksekutif (Teknologi) Axiata, Thomas Hundt berkata, Open RAN merupakan masa depan bagi rangkaian mudah alih dan ia sangat penting untuk perluasan 4G serta evolusi 5G yang bakal dinikmati oleh pasaran pengguna Axiata.

“Sejajar dengan visi kami untuk menjadi Juara Digital Generasi Seterusnya, faedah dari rangkaian terbuka akan membolehkan Axiata menyediakan keperluan penyambungan yang meningkat dengan lebih baik di seluruh rantau ini khususnya di luar bandar dan kawasan yang masih belum mendapat liputan.

“Ia juga akan memastikan penciptaan nilai yang lestari untuk pemegang taruh syarikat kami," katanya dalam kenyataan tersebut pada Isnin.

Axiata memaklumkan bahawa ujian rintis teknologi tersebut dilaksanakan secara bersama dengan rakan strategiknya yang juga merupakan syarikat peneraju penyedia penyelesaian rangkaian global iaitu Mavenir and Parallel Wireless serta turut disokong Infosys yang berperanan sebagai ‘system integrator’ (SI).

Thomas berkata, seiring dengan usaha menyambung liputan global di bawah Projek Infrastruktur Telekomunikasi, Axiata bersama dengan rakan strategiknya komited untuk memanfaatkan infrastruktur automatik bagi meningkatkan ekosistem rangkaian terbuka di Asia.

“Kejayaan program percubaan kami di Malaysia, Sri Lanka dan Indonesia membuktikan bahawa penyelesaian Open RAN memungkinkan kecekapan operasi dengan kos yang lebih efisien menggunakan teknologi canggih.

Artikel Berkaitan:

“Sementara itu, ia juga memenuhi keperluan bagi usaha memastikan penyediaan digital yang inklusif di seluruh rantau ini.

“Kami berharap usaha ini dapat mengambil langkah seterusnya menuju pengkomersialan dalam memangkin perubahan terhadap kemajuan di seluruh Asia yang sedang berkembang,”ujarnya.

Dalam kesemua ujian lapangan yang dijalankan itu, Axiata berkata, pengguna dapat merasai pengalaman rangkaian yang lancar manakala untuk beberapa kes, mereka juga mendapat pengalaman jalur lebar mudah alih yang lebih unggul termasuk teknologi perkhidmatan suara generasi seterusnya.

Open RAN merupakan teknologi yang berupaya mengintegrasikan kesemua kelengkapan peralatan digunakan oleh vendor penyedia operasi perkhidmatan rangkaian telekomunikasi.