60 peratus peniaga kecil gagal mohon pinjaman

Charles Santiago
Charles Santiago
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu menunjukkan kesungguhan politik dan bertimbang rasa dalam membela nasib peniaga mikro yang kini berstatus 'nyawa-nyawa ikan' sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0, Mac tahun lalu.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, gesaan itu dibuat susulan kaji selidik pihaknya mendapati sejumlah 60.2 peratus daripada sejumlah 1,192 responden dalam pelbagai industri, mengakui ditolak permohonan bantuan pinjaman daripada bank-bank atau pakej pelan pemulihan ekonomi kerajaan seperti Prihatin, Penjana, Pemerkasa dan Permai.

Jelas beliau, 76 peratus daripada responden berkenaan menjelaskan bank memberikan alasan tiada aliran tunai kukuh, skor kredit tidak memuaskan, pendapatan tidak mencukupi dan ketiadaan jaminan meyakinkan untuk menolak permohonan mereka, meskipun pada saat krisis pandemik Covid-19.

“Alasan itu tidak masuk akal memandangkan pada saat pandemik semakin kritikal, keseluruhan bisnes perniagaan, sama ada besar atau kecil, terkesan teruk kerana tidak boleh beroperasi pada kapasiti penuh.

“Sepatutnya kerajaan lebih bertimbang rasa untuk membantu peniaga mikro dengan mengarahkan bank-bank melonggarkan kelulusan pinjaman kewangan selain memastikan bantuan moratorium automatik kepada mereka.“Saya bimbang sekiranya kerajaan tidak menunjukkan kesungguhan politik dan terus membisu, hayat 50,000 peniaga mikro yang sedang nyawa-nyawa ikan akan terkubur sepenuhnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Antara alasan yang diberikan oleh pihak bank apabila menolak permohonan pinjaman peniaga kecil.
Antara alasan yang diberikan oleh pihak bank apabila menolak permohonan pinjaman peniaga kecil.

Santiago mendedahkan hasil kaji selidik pihaknya turut mendapati kira-kira 48 peratus daripada responden hanya mampu bertahan sebulan apabila PKP 3.0 diteruskan tanpa bantuan lanjut daripada kerajaan.Jelas beliau, sebanyak 33 peratus daripada responden pula mendedahkan terpaksa menutup operasi dalam tempoh satu hingga tiga bulan akan datang apabila simpanan mereka habis.

Tambah memilukan, Santiago turut mendedahkan 51.3 peratus responden tidak menerima skim khas pengecualian cukai sebanyak 30 peratus daripada pemilik premis, manakala 20.9 peratus tidak mengetahuinya.

Artikel Berkaitan:

“Atas faktor ini, kerajaan perlu mewajibkan bank-bank memberikan moratorium automatik bagi memastikan pemilik-pemilik premis tidak mempunyai sebarang alasan untuk tidak mengecualikan bayaran sewa premis kepada peniaga-peniaga mikro,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Usahawan mikro berisiko bankrap