Untung sabut timbul, untung batu tenggelam

Tunda pemilihan UMNO selama 18 bulan akan membawa beberapa senario antaranya memanjangkan tempoh kepimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Tunda pemilihan UMNO selama 18 bulan akan membawa beberapa senario antaranya memanjangkan tempoh kepimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
A
A
A

SEORANG ahli Dewan Undangan Negeri dari UMNO yang juga kenalan penulis baru-baru ini telah menelefon dan membuat satu permintaan yang sukar untuk ditunaikan oleh penulis.

Beliau mohon agar akhbar ini menghentikan sebarang laporan yang memperlihatkan percanggahan pendapat di antara para pemimpin parti itu berhubung soal kepimpinan dan juga hala tuju parti tersebut.

Beliau adalah seorang yang patriotik dan mengenalinya untuk sekian lama, penulis memahami keprihatinan beliau ke atas masa depan partinya itu.

Namun penulis dengan hati yang berat tidak dapat memenuhi permintaannya.

Bukan kerana tidak mahu menunaikan permintaan seorang sahabat tetapi kerana tanggungjawab penulis sebagai wartawan tidak mengizinkan penulis berbuat demikian.

Pertama, Sinar Harian bukanlah milik mana-mana parti termasuk UMNO. Ia bukanlah organ parti sepertimana Harakah. Dalam kes ini, UMNO bukanlah pemegang taruh Sinar Harian.

Sinar Harian memberi layanan yang sama rata kepada semua. Ini adalah akhbar bebas tanpa ada kecenderungan ke atas mana-mana parti.

Yang kedua, jika sekalipun Sinar Harian tidak melaporkan perihal apa yang sedang berlaku di dalam UMNO atau mana-mana parti politik, akhbar atau media lain tetap akan melaporkannya.

Artikel Berkaitan:

Dan yang ketiga, penulis memberitahunya, jika pemimpin UMNO tidak membuka mulut dan bercakap, sudah pasti tidak ada mana-mana media yang akan melaporkannya.

Seharusnya beliau perlu terlebih dahulu menasihati rakan-rakannya agar tidak berbalah sesama sendiri. Jika tidak ada perbalahan maka tidak adalah berita panas yang perlu kami tulis.

Pokok pangkalnya, tidak mungkin beliau dan pucuk pimpinan parti itu mampu menutup mulut setiap seorang daripada mereka bercakap kepada media.

Apatah lagi dalam keadaan di mana sesebuah parti itu tidak berada di puncak kuasa dan pucuk pimpinan tidak kukuh, semua orang merasakan yang mereka ada sedikit kelebihan untuk menunjuk taring.

Ini adalah lumrah alam. Ia berlaku di mana-mana dan dalam semua era.

Dan bercakap tentang pucuk pimpinan UMNO, kini kita semua sudah sedia maklum yang pemilihan UMNO akan ditunda selama 18 bulan lagi.

Tempoh penggal yang ada sekarang sepatutnya berakhir hujung bulan ini. Tetapi atas nama pandemik, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan isu penjarakkan sosial, ia menjadi alasan terbaik untuk menangguhkan pemilihan.

Penangguhan ini membawa kepada beberapa senario di hadapan UMNO.

Yang paling jelas, ia memanjangkan jangka hayat bateri kepimpinan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk terus berkuasa selama 18 bulan lagi.

Dalam situasi di mana ramai wakil rakyat UMNO sedang menunjukkan penentangan terhadapnya, ini memberikan kelebihan kedua kepada Ahmad Zahid seandainya pilihan raya umum diadakan dalam tempoh ini kerana kuasa mengeluarkan watikah calon pilihan raya (dalam konteks ini calon Barisan Nasional) adalah berada di tangan beliau.

Watikah ini sangat penting. Tanpa watikah, seseorang itu tidak layak mewakili partinya dalam mana-mana pilihan raya melainkan beliau masuk gelanggang sebagai calon Bebas.

Ini sekaligus bermakna, mereka yang sedang menunjukkan penentangan terhadapnya berhadapan dengan potensi akan digugurkan sebagai calon UMNO dalam pilihan raya umum ke-15 nanti. Sekali lagi, jika ia diadakan dalam tempoh 18 bulan ini.

Walaupun tindakan ini bakal mencetuskan pemberontakan di peringkat bahagian kelak tetapi siapa sahaja yang berada di kedudukan seperti Ahmad Zahid akan bersedia mengambil risiko orang yang digugurkannya itu akan bangkit menentangnya sebagai calon Bebas atau calon mewakili parti lain.

Dikekalkannya calon itu kelak akan menentangnya di Parlimen (jika mereka menang) dan jika digugurkan pun tetap akan menentangnya dalam pilihan raya sebagai calon lawan. Jadi risikonya tetap sama. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam.

Sebaliknya, tempoh 18 bulan ini juga boleh digunakannya untuk memperkukuhkan parti dan juga kedudukan beliau sebagai presiden.

Ini kerana sebagai presiden, mahu tidak mahu beliau yang akan memimpin parti itu ke medan pilihan raya umum jika ia diadakan.

Sementara Ahmad Zahid mahu terus memimpin UMNO menuju kancah peperangan dan kembali sebagai hero (jika beliau berjaya memimpin UMNO mengharungi pilihan raya umum dengan kemenangan besar), pada masa yang sama, sesiapa sahaja yang berada di dalam kasut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga akan mahu Ahmad Zahid yang memimpin UMNO menuju ke medan pilihan raya.

Adalah lebih mudah menumpaskan parti yang dipimpin oleh seseorang yang tidak kuat (atas apa jua sebab - peribadi atau ketokohan) daripada berhadapan dengan seorang pemimpin yang jauh lebih kuat.

UMNO dengan kepimpinan baru akan memasuki gelanggang dengan wawasan baru dan semangat baru berbanding dengan kepimpinan yang ada sekarang yang berpecah belah dan tidak berdiri sebagai satu saf.

Oleh yang demikian, janganlah terkejut jika Perdana Menteri yang mana kuasa untuk memanggil pilihan raya umum adalah di tangannya, berkemungkinan besar membubarkan Parlimen dalam tempoh 18 bulan ini untuk menentang parti yang sedang bergolak seperti UMNO.

Muhyiddin akan berfikir, untuk apa memberi kelebihan kepada UMNO untuk dipimpin oleh presiden baru dan selepas itu bertanding menentang partinya dalam pilihan raya umum nanti dengan semangat dan kepimpinan yang jauh lebih jitu.

Sesiapa sahaja boleh berfikir ini bukanlah masa untuk bertindak sebagai seorang yang budiman dan memberi senjata kepada 'bakal musuh'.

Sekali lagi untung sabut timbul, untung batu tenggelam...

* Rozaid Rahman ialah Ketua Pengarang Kumpulan dan Ketua Pegawai Pengisian Sinar Harian.