Lazada, Shopee sekat penjualan air zamzam

Lazada dan Shopee mengambil tindakan segera dengan menyekat penjualan air zamzam di platform e-dagang itu.
Lazada dan Shopee mengambil tindakan segera dengan menyekat penjualan air zamzam di platform e-dagang itu.
A
A
A

SHAH ALAM - Hasil daripada pembongkaran Sinar Harian, syarikat pengendali Lazada dan Shopee mengambil tindakan segera dengan menyekat penjualan air zamzam di platform e-dagang itu selepas mendapatkan pengesahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa tiada lesen dikeluarkan untuk mengimport dan menjual air tersebut di Malaysia.

Menurut jurucakap Shopee, sebagai langkah mencegah aktiviti jualan itu pihaknya memasukkan kata ‘Air Zamzam’ ke dalam senarai produk larang jual.

Katanya, Shopee tidak akan bertolak ansur dengan penjualan produk yang menyalahi undang-undang kerajaan dan melanggar dasar polisi barangan larangan serta terhad syarikat berkenaan.

“Penjual perlu mematuhi dasar polisi, peraturan dan larangan yang telah ditetapkan oleh agensi-agensi kerajaan serta badan-badan pengawalseliaan.

“Di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 (Peraturan 360A), air zamzam dianggap sebagai air mineral di mana pengimportan produk ini memerlukan lesen daripada KKM serta pengesahan daripada kerajaan Arab Saudi.

“Malah, pengeksportan dan penjualan air zamzam ke negara lain juga tidak dibenarkan. Bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada jemaah haji yang mengunjungi Makkah untuk dibawa pulang untuk penggunaan peribadi dalam kuantiti yang kecil,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, jurucakap Lazada turut menegaskan bahawa mana-mana penjual yang tidak patuh dan melanggar dasar ditetapkan oleh pihak Lazada boleh dikenakan penalti yang mana boleh mengakibatkan kedai mereka ditutup sepenuhnya.

Tambah jurucakap itu, Lazada akan terus memantau situasi tersebut dengan teliti dan berharap pelanggan dapat melaporkan sebarang barangan yang haram dijual di platform perniagaan mereka melalui pautan yang disediakan.

Artikel Berkaitan:

“Ini bertujuan supaya kami dapat menyiasat dan mengambil tindakan secepat mungkin,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada siapa dapat lesen eksport, jual air zamzam

Air zamzam masih dijual secara online