Belia ejen berkesan perangi rasuah

Kemampuan anak muda jadi ejen perubahan berkesan dapat dilihat apabila mereka berjaya bawa pengaruh besar dalam keputusan PRU lalu. Gambar kecil: G Manimaran
Kemampuan anak muda jadi ejen perubahan berkesan dapat dilihat apabila mereka berjaya bawa pengaruh besar dalam keputusan PRU lalu. Gambar kecil: G Manimaran
A
A
A

SHAH ALAM - Anak muda termasuk belia merupakan ejen perubahan yang terbukti berupaya membantu masyarakat memerangi isu rasuah yang berlaku di dalam negara.

Ahli pasukan teras Rasuah Busters, Dr G Manimaran berkata, kemampuan anak muda untuk menjadi ejen perubahan yang berkesan dapat dilihat apabila mereka berjaya membawa pengaruh yang besar dalam keputusan pilihan raya umum (PRU) yang lalu.

Menurut beliau, berdasarkan kepada sejarah tersebut, anak muda tidak sepatutnya ragu terhadap keupayaan dan kapasiti mereka untuk membentuk masyarakat Malaysia yang bebas rasuah pada masa akan datang.

“Bagi saya kita melihat belia atau golongan muda sebagai ejen perubahan. Perkara ini bukan sesuatu yang mustahil dan tidak boleh dilakukan.

“Kalau kita melihat dalam PRU pada tahun 2018, setelah lebih 30 tahun menjadi pemerhati untuk pertama kali saya melihat banyak orang muda keluar mengundi mulai jam 7.30 pagi.

“Pertama kali saya lihat mereka berdiri panjang sehingga 1.5 kilometer di pusat mengundi seluruh negara dan untuk saya (melihat sendiri) di seluruh Selangor. Jadi kalau benda itu masa PRU boleh buat, dalam rasuah pun kita boleh buat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika program ‘Sidang Meja Bulat – Anak Muda Tolak Rasuah’ yang merupakan sebahagian daripada Bengkel Kesedaran Rasuah Malaysian Youth Anti-Corruption Task Force (MYACT) Zon Timur anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) pada Ahad.

Dengan penyertaan lebih 40 orang peserta terdiri daripada ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) belia, bengkel itu turut melibatkan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pasukan Rasuah Busters Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Manimaran berkata, kumpulan belia juga perlu menyediakan kapasiti yang dimiliki oleh mereka bagi memastikan usaha memerangi rasuah mencapai objektif yang disasarkan.

Jelasnya, ia termasuk memantapkan pemahaman belia mengenai maksud sebenar amalan rasuah seperti suapan, salah guna kuasa dan pertembungan kepentingan berdasarkan kepada Akta SPRM.

“Kapasiti ialah memastikan kesediaan kita untuk berhadapan dengan kejadian rasuah termasuk bagaimana kita nak menolak, mengelak dan melapor jenayah tersebut.

“Sebagai contoh, dalam melaporkan rasuah, penting untuk kita tahu mengenai tempat, tarikh, identiti pemberi, penerima, orang tengah sekiranya ada, saksi dan dokumen-dokumen yang diperlukan.

“Oleh itu, dalam apa sahaja jenis masalah termasuk rasuah, kita kena tahu punca masalah itu dari segi psikologi dan komunikasi. Kalau kita tidak tahu punca bagaimana masalah itu wujud, kita tidak dapat mengatasi masalah,” ujarnya.