Pendidikan rohani di IPT usaha lahirkan generasi berintegriti

Ismail (kiri) dan Ridzuan menjadi panelis Program Bual Bicara Integriti Teras Kecemerlangan Hidup disiarkan secara maya menerusi platform Facebook ‘peoplerelation2k21’ pada Sabtu.
Ismail (kiri) dan Ridzuan menjadi panelis Program Bual Bicara Integriti Teras Kecemerlangan Hidup disiarkan secara maya menerusi platform Facebook ‘peoplerelation2k21’ pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM – Pendidikan bagi memantapkan kerohanian di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) perlu diperkenalkan secara rasmi dalam pelbagai bidang sebagai usaha melahirkan generasi berintegriti.

Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia, Datuk Wira Prof Ismail Ibrahim berkata, pelajar IPT merupakan pelapis masa depan yang wajar diberi peluang dalam pentadbiran negara sebagai persediaan menjadi pemimpin berintegriti tinggi.

“Belia perlu ada (dalam pentadbiran) untuk bersama memberi idea baharu. Kadang kala orang muda memberi pandangan yang lebih baik daripada yang telah berusia.

“Saya sokong untuk satukan orang muda dalam kepimpinan negara tetapi kini penting golongan itu diberi pendidikan yang lebih baik kerana dalam pembangunan teknologi ketika ini banyak perkara negatif yang kita perlu jaga.

“Jadi, kita mahu pendidikan rohani dilaksanakan secara rasmi dalam semua bidang. Perkemaskan semula kokurikulum agama kerana itu yang mampu mendidik hati menjadi lebih bersih,” katanya menerusi Program Bual Bicara Integriti Teras Kecemerlangan Hidup disiarkan secara maya menerusi platform Facebook ‘peoplerelation2k21’ pada Sabtu.

Program itu turut menampilkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sebagai tetamu khas, dan Ketua Unit Integriti UiTM, Ridzuan Ahmad sebagai panelis.

Ia dikendalikan oleh Pelajar Tahun Akhir Perhubungan Awam, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Hisyam Rahim yang bertindak sebagai moderator.

Sementara itu, Ridzuan mendedahkan dalam konteks integriti di UiTM, ia bukan isu yang membimbangkan kerana masih pada tahap terkawal dengan kadar kes yang amat minimum.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun jelas beliau, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap kes melibatkan salah laku tanpa mengira pangkat dan jawatan warga UiTM.

“Berdasarkan statistik tatatertib melibatkan kakitangan, kita ada 18,000 kakitangan UiTM seluruh Malaysia dan setiap tahun, hanya 0.03 peratus sahaja yang dijatuhkan hukuman bersalah dalam isu tatatertib,” katanya.