Perkemas sistem pendidikan negara

No Image Caption
A
A
A

PENGUMUMAN Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk melaksanakan satu pengambilan khas guru pada 2021 adalah satu langkah berani dalam memperkemaskan sistem pendidikan negara pasca pandemik Covid-19.

Pengambilan membabitkan seramai 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan gred DG41 akan mula dibuat pada 7 Julai ini dengan penempatan secara berperingkat bermula pada Oktober, merupakan antara salah satu kemasukan terbesar pernah dibuat oleh KPM.

Ia bermakna apabila sekolah dibuka tahun depan, ketika negara telah pun mencapai kekebalan kelompok terhadap Covid-19, sekolah telah bersedia dengan keupayaan pengajaran yang lebih baik dan kemas.

Menurut Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Md Jidin, pengambilan one off itu bagi menampung kekurangan guru di seluruh negara dengan tumpuan di Sabah, Sarawak, Johor dan Selangor.

Sesungguhnya, isu kekurangan guru sudah dibicarakan sejak beberapa tahun lalu tanpa langkah yang konkrit dan bersungguh-sungguh.

Misalnya, awal tahun 2019, Menteri Pendidikan ketika itu, Dr Maszlee Malik menyatakan masalah kekurangan guru di Malaysia berada pada tahap yang masih boleh diuruskan. Namun, hujung tahun yang sama, Timbalannya, Teo Nie Ching memaklumkan bahawa sekolah kebangsaan mengalami kekurangan guru sebanyak 6,000 tempat. Itu angka sekolah kebangsaan sahaja, belum lagi sekolah menengah.

Selain kekurangan guru di empat negeri tersebut, Dr Radzi juga menyatakan terdapat kekurangan ketara bagi beberapa mata pelajaran tertentu. Bagi sekolah rendah, antara mata pelajaran yang dikenal pasti berhadapan kekurangan guru sangat ketara ialah Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).

Bagi sekolah menengah pula, mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam serta Reka Bentuk dan Teknologi dikenal pasti mengalami kekurangan guru yang kritikal.

Artikel Berkaitan:

Anehnya, ketika kita melaungkan kekurangan guru, negara juga berhadapan ribuan graduan pendidikan yang tidak berpeluang menjadi guru kerana kekurangan pengambilan.

Justeru, pengambilan khas ini tampak adalah strategi serampang dua mata iaitu menyelesaikan isu kekurangan guru dan mengurangkan isu graduan pendidikan yang menganggur.

Pada masa yang sama, KPM juga perlu mempertimbangkan keutamaan kepada guru-guru interim yang telah berpengalaman mengajar di sekolah. Mereka bukan sahaja berpengalaman, malah telah menunjukkan komitmen sebagai pendidik walaupun tidak berjawatan tetap.

Penambahan guru secara besar-besaran membolehkan sistem pengajaran dan pembelajaran di sekolah menjadi lebih kemas serta efektif, sekali gus meningkatkan keupayaan sekolah bagi menangani masalah ketinggalan dan kekurangan dalam pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ketika ini.

Negara terpaksa melaksanakan PdPR untuk sebahagian besar tahun 2020 dan 2021 kerana sekolah ditutup akibat pandemik. Walaupun ada pelbagai usaha daripada guru, kerajaan dan ibu bapa untuk menjayakan proses tersebut, tiada sesiapa boleh menafikan terdapat ramai pelajar tercicir. Sebahagiannya kerana kurang kemampuan mempunyai peralatan dan sebahagian lagi hilang fokus dalam sesi atas talian.

Realitinya, walau apa pun kesungguhan kita melaksanakan PdPR, ia tidak sama dengan pembelajaran bersemuka dalam kelas terutama kepada murid sekolah rendah.

Di sebalik pengumuman besar itu, membuat pengambilan seramai ini sekali gus bukanlah tugas mudah. Ia memerlukan komitmen dan keberanian kerajaan kerana melibatkan jumlah kewangan yang besar.

Dalam keadaan ekonomi tidak menentu dan kewangan kerajaan yang lemah, langkah itu hanya akan menambah beban kewangan kerajaan. Namun, ia juga langkah yang sangat perlu kerana kita tidak boleh selama-lamanya membenarkan isu berkenaan berlarutan sehingga menjejaskan kualiti pendidikan anak-anak kita.

Di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya. Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

*Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)