Jangan fikir isu LTSAAS dah selesai


Nasib LTSAAS di Subang kini menimbulkan tanda tanya apabila dikatakan akan dijual atau dipajak.
Nasib LTSAAS di Subang kini menimbulkan tanda tanya apabila dikatakan akan dijual atau dipajak.
A
A
A

TEKA-TEKI masa depan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang akhirnya terjawab. Pada 25 Jun, Kementerian Kewangan menafikan laporan dan ramalan kemungkinan LTSAAS ditarik keluar daripada pengurusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan diswastakan.

Menurut kenyataan itu, kerajaan tiada rancangan untuk menjual mana-mana hartanah lapangan terbang kepada mana-mana pihak. Hartanah lapangan terbang adalah aset strategik negara. Lagipun MAHB,syarikat yang dikuasai Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) masih memegang pajakan selama 60 tahun sehingga 2067 ke atas LTSAAS.

LTSAAS salah sebuah daripada 39 lapangan terbang di bawah kendalian MAHB selaras dengan perjanjian operasi yang dimeterai pada 2009 antara kerajaan dan MAHB.

Setakat ini, MAHB masih pihak yang dipertanggungjawabkan untuk membangunkan aset sekitar LTSAAS. Kenyataan itu menegaskan sebarang usaha memaksimumkan nilai aset LTSAAS tidak akan melibatkan penjualan hartanah.

Kenyataan Kementerian Kewangan itu seakan-akan pratayang kepada keputusan kabinet, yang mengikut sumber akan dibuat dalam sidang mingguannya Rabu ini.

Kontroversi dan bantahan umum berkaitan lapangan terbang itu tercetus apabila ahli perniagaan hartanah, Tan Sri Desmond Lim Siew Choon melalui syarikat miliknya, WCT Holdings Berhad mencadangkan rundingan semula konsesi pengurusan ruang niaga LTSAAS.

Cerita itu bermula pada 2007 iaitu pada zaman pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi, apabila sebuah syarikat bernama Subang Skypark Sdn Bhd (SSSB) yang 'dikaitkan’ dengan UMNO mendapat pajakan kecil daripada MAHB untuk menguruskan ruang perniagaan di lapangan terbang itu.

Pada April 2018, sebulan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, dua orang pemegang saham SSSB bernama Tan Sri Ravindran Menon dan Datuk Aisamar Kadil Mydin Syed Marokiah menjual 60 peratus saham syarikat itu kepada WCT pada harga RM44.56 juta.

Artikel Berkaitan:

Mengenali Desmond, beliau tidak akan membeli sebuah syarikat kecil seperti SSSB kalau tidak kerana tujuan lebih besar. Beliau juga merupakan pemilik pusat beli-belah The Pavilion dan beberapa projek perumahan mewah di Kuala lumpur serta Selangor.

Seperti dijangka, tidak lama selepas mengambil alih kawalan ke atas SSSB, Desmond mengemukakan cadangan bagi merundingkan semula syarat-syarat perjanjian pajakan kecil 30 tahun, antaranya mahu tempoh pajakan dilanjutkan selama 55 tahun, dibenar membangunkan LTSAAS menjadi lapangan terbang bandar raya untuk penerbangan komersial menggunakan pesawat jet dan membangunkan hartanah.

Desmond menawarkan dua syarat kepada kerajaan dan mengemukakan lima permintaan.Syarat ditawarkan, Desmond akan merundingkan ganti rugi kepada MAHB dan Airod kerana beliau mahu kedua-dua entiti itu keluar daripada LTSAAS. Penghuni lain seperti Khazanah, CAAM (menara kawalan), PDRM dan TUDM boleh kekal. Desmond juga menawarkan 15 peratus yuran pendaratan kepada kerajaan.

Daripada kerajaan pula, beliau meminta akses kepada rekod MAHB berkaitan LTSAAS, hak menentukan yuran pendaratan dan penumpang, membuka LTSAAS kepada pesawat jet dengan kapasiti hingga 140 penumpang, tempoh pajakan disambung sehingga 2092 dan galakan pelaburan bagi memajukan LTSAAS. Kesimpulannya, ketidakpastian mengenai status masa depan LTSAAS sebenarnya masih berterusan kerana kenyataan Kementerian Kewangan hanya mengesahkan LTSAAS tidak akan ditarik keluar daripada pengurusan MAHB dan diswastakan.

Ia bermakna rundingan semula konsesi yang dipegang SSSB seperti dikemukakan Desmond masih boleh diteruskan dan MAHB masih dalam bahaya hilang hak ke atas tanah LTSAAS. Tempoh konsesi kepada SSSB masih ada 16 tahun dan Desmond berhak meminta dirundingkan semula.

Beliau boleh meminda syarat ditawarkan dan yang diminta, asalkan keputusannya memberi pulangan berpatutan kepada tindakannya melabur dalam SSSB. Dalam bahasa mudah, kenyataan Kementerian Kewangan itu tidak mengancam kepentingan Desmond dan syarikatnya. Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara