MTUC bantah i-Sinar 2.0, desak kerajaan beri bantuan RM1,200 sebulan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) tidak setuju dengan cadangan Kementerian Kewangan untuk membenarkan pengeluaran i-Sinar 2.0 daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor berkata, kerajaan sepatunya memberikan bantuan RM1,200 sebulan kepada golongan B40 dan M40 serta mencari sumber lain bagi tujuan tersebut.

Menurutnya, tugas dan tanggungjawab kerajaan adalah mencari dana bagi membantu pekerja tanpa menggunakan wang simpanan KWSP.

“Jangan usik duit simpanan pekerja bagi menunjukkan bahawa bantuan telah diberikan, kerajaan mengambil kredit ke atas simpanan pekerja sedangkan ini adalah wang simpanan hari tua mereka.

“Program i-Lestari 1.0 dan i-Sinar 1.0 telah dilaksanakan sebelum ini. Pekerja telah berkorban untuk menggunakan duit simpanan mereka selain membantu merancakkan ekonomi negara.

“MYTUC membantah pengeluaran i-Sinar 2.0 kerana tidak dibincangkan bersama pihak berkepentingan seperti kami dan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) dalam isu ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan bakal umum pemberian moratorium, i-Sinar

Pada Sabtu, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan kerajaan bakal mengumumkan sesuatu mengenai pemberian moratorium dan i-Sinar dalam waktu terdekat.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, perbincangan sudah dilakukan bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan agensi-agensi berkaitan.

Mengulas lanjut Kamarul berkata, MTUC mendesak kerajaan supaya melaksanakan moratorium secara automatik selama enam bulan seperti moratorium 1.0 yang berjaya membantu pekerja.

Ujarnya, keuntungan bank masih baik maka kerajaan perlu memberi tekanan kepada pihak bank untuk bersama-sama berkongsi keuntungan dengan melaksanakan moratorium automatik.

“MTUC turut mendesak KWSP melantik wakil MTUC dalam ahli Lembaga Pengarah KWSP kerana penting bagi menjaga kepentingan wang simpanan pekerja.

“Sehingga kini MTUC telah menghantar tiga surat kepada Kementerian Kewangan bagi maksud tersebut. Kami tiada pilihan lain melainkan melaporkannya kepada Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan mengambil tindakan sewajarnya,” kata Kamarul.

MTUC
MTUC