Morbidelli selamat jalani pembedahan

IMBAS KEMBALI... Aksi Morbidelli pada sesi latihan di GP Catalunya.
IMBAS KEMBALI... Aksi Morbidelli pada sesi latihan di GP Catalunya.
A
A
A

PELUMBA MotoGP Petronas Yamaha SRT (PYSRT), Franco Morbidelli selamat menjalani pembedahan lutut di Itali, pada Jumaat berikutan kecederaan yang dialaminya pada sesi latihan awal bulan ini sempena Grand Prix (GP), di Litar Catalunya, Barcelona, 6 Jun lalu.

Menurut Morbidelli, dia membuat keputusan untuk menjalani pembedahan berkenaan setelah mendapati kecederaan yang dialaminya itu semakin serius sejak kebelakangan ini terutamanya setelah terjatuh sekali ketika sesi latihan untuk GP Belanda di Litar Assen, pada Ahad.

“Saya mengalami kecederaan lutut ini sejak terjatuh ketika latihan awal untuk GP Catalunya, awal bulan ini. Kecederaan lutut ini menyaksikan saya hanya menamatkan perlumbaan pada kedudukan keenam.

"Kecederaan itu semakin serius dan mengakibatkan saya hanya menamatkan GP Jerman 20 Jun lalu pada kedudukan ke-18 dan Rabu lalu, saya sekali lagi terjatuh ketika berlatih untuk GP Belanda di Litar Assen dan terus buat keputusan untuk menjalani pembedahan lutut saya ini.

"Ini bermakna saya akan terlepas untuk mengikuti perlumbaan GP Belanda di Litar Assen yang dijadualkan berlangsung pada Ahad (hari ini)," katanya.

Difahamkan, Morbidelli membuat keputusan untuk menjalani pembedahan setelah mengalami kecederaan Ligamen Anterior atau kecederaan sendi lutut yang melampau hingga boleh menghadkan pergerakan seseorang.

Selepas pembedahan, Morbidelli dijangka akan menjalani proses pemulihan atau rehabilitasi selama lapan minggu dalam usaha mengembalikan semula kecergasannya untuk berlumba.

Sepanjang ketiadaannya, tempat Morbidelli bakal digantikan oleh pelumba Kejohanan Superbike Dunia (WSBK), Garrett Gerloff.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Morbidelli berkata, dia sebenarnya sudah tidak sabar untuk mengikuti proses rehabilitasi berkenaan bagi membolehkannya kembali berlumba seperti biasa.

“Sebenarnya, setelah selesai menjalani pembedahan, saya tidak fikirkan perkara lain. Saya hanya mahu cepat sembuh dan kembali ke prestasi sebenar saya untuk kembali berlumba di trek secepat yang boleh.

“Saya dijangka akan menjalani proses rehabilitasi ini di Bologna. Saya sebenarnya sudah tidak sabar untuk mengikuti proses rehabilitasi ini dan kembali berlumba seperti biasa,” katanya.