Formula Sungai Ichat mampu pulihkan Tasik Chini

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM) Pahang menyokong usaha kerajaan negeri Pahang dalam memelihara dan memulihara alam sekitar di kawasan Tasik Chini.

Pengerusi YARM Pahang, Wan Emril Nizam Wan Embong berkata, program penanaman pokok yang dilaksanakan dilihat mampu memulihkan kawasan tersebut sebagaimana yang berlaku di Sungai Ichat, Cameron Highlands sebelum ini.

Menurut beliau, aktiviti penanaman pokok yang sesuai antara resipi kejayaan pemulihan Sungai Ichat yang tercemar teruk akibat aktiviti pencerobohan tanah haram untuk aktiviti pertanian.

"Usaha kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) bagi memulihkan kawasan Tasik Chini secara berperingkat memerlukan gandingan solidariti semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai pihak ketiga untuk menggerakkan usaha itu secara konsisten," katanya melalui satu kenyataan pada Sabtu.

Wan Emril Nizam berkata, YARM Pahang yakin usaha pemulihan Tasik Chini sudah dilakukan sejak dua tahun lalu termasuk cadangan mewartakan Hutan Simpan Kekal Tasik Chini dan bukan selepas isu kemusnahan kawasan itu tular di laman sosial kebelakangan ini.

Tambahnya, YARM Pahang turut menyokong hasrat dan syor untuk mewujudkan Perbadanan Biodiversiti Tasik Chini bagi mengekalkan kelestarian ekosistem kawasan itu selaras dengan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) sebagaimana titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-​Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum ini.

"Selain itu, cadangan penggubalan enakmen yang lebih konstruktif termasuk Enakmen Perlindungan Alam Sekitar atau Enakmen biodiversiti juga perlu untuk melindungi dan mengekalkan kelestarian alam sekitar sebagai jaminan masa depan generasi akan datang," katanya.

Artikel Berkaitan: