'Jangan derhaka dengan titah Tuanku'

Gambar kecil: Abdullah Sani
Gambar kecil: Abdullah Sani
A
A
A

KLANG - Parlimen digesa untuk bersidang secepat mungkin selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah dan raja-raja Melayu demi kepentingan negara serta rakyat.

Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, tarikh persidangan serta notis panggilan perlu dikeluarkan segera agar sidang Parlimen boleh diadakan sebelum 1 Ogos depan, bertepatan dengan Seksyen 14 Ordinan Darurat.

“Sidang Parlimen boleh dipanggil, prorog dan dibubar pada satu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa.

“Titah Tuanku yang selari dengan perlembagaan, demokrasi dan menjiwai hasrat rakyat mestilah dipatuhi. Jangan biadab dan derhaka,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, alasan mahu mengkaji terlebih dahulu kaedah pelaksanaan Parlimen secara hibrid tidak boleh diterima.

Malah, katanya, kenyataan Yang Dipertua Dewan Negara serta Dewan Rakyat bahawa Parlimen akan bersidang pada hujung Ogos atau awal September dilihat sebagai helah untuk melengahkan persidangan tersebut.

“Sedangkan Selangor, Melaka, Johor dan beberapa negeri lagi sudah menetapkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tarikh yang lebih awal.

"Jika baru nak kaji kaedah pelaksanaan, apa yang mereka buat sepanjang lebih enam bulan Parlimen tidak bersidang dalam tempoh darurat?" soal beliau.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, pelbagai inisiatif kerajaan seperti Perlindungan Ekonomi Rakyat Malaysia (Permai), Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) dan sebagainya dikatakan sudah melebihi RM600 bilion perlu dibentang dan dibahaskan di Parlimen.

Sementara itu, beliau berkata, pendedahan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berhubung 25 ahli Parlimen yang didakwa sudah menarik balik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) harus dibahas dan dibuktikan di Parlimen.

“Ahli Parlimen perlu diberi sepenuhnya hak mereka sebagai wakil rakyat untuk membahas serta mengusulkan apa jua perkara termasuk usul undi tidak percaya yang akan menentukan keabsahan kerajaan hari ini.

“Sebarang tindakan melengahkan sidang Parlimen akan membuka ruang kepada penyelewengan, ketirisan serta mengheret negara kepada krisis lain termasuk krisis perlembagaan,” ujar beliau.