Duta vaksin tingkat kesedaran Orang Asli

Masyarakat orang asli sudah mula sedar mengenai kepentingan vaksin Covid-19. - Gambar hiasan
Gambar kecil: Emi Redziana
Masyarakat orang asli sudah mula sedar mengenai kepentingan vaksin Covid-19. - Gambar hiasan Gambar kecil: Emi Redziana
A
A
A

SEREMBAN- Masyarakat Orang Asli yang menerima vaksin Covid-19 akan menjadi duta di kampung masing-masing bagi meningkatkan kesedaran dan pertambahan jumlah bilangan Orang Asli bersetuju menerima vaksin.

Timbalan Ketua setiausaha (Dasar) Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata, duta ini berperanan menyampaikan maklumat yang tepat mengenai vaksin.

"Dalam masa sama mereka berkongsi pengalaman berkaitan vaksin dengan anak buah dalam bahasa suku kaum masing-masing.

"Seperti Tok Batin yang telah menerima vaksin, mereka ini akan menjadi teladan kepada masyarakat kaum itu untuk turut sama menerima suntikan vaksin," katanya selepas mengadakan lawatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Majlis Bandaraya (MBS) Seremban pada Sabtu.

Hadir sama Exco Pembangunan Luar Bandar Negeri Sembilan, Ismail Ahmad dan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Negeri Sembilan dan Melaka, Shahrani Idderis.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, seramai 420 daripada 2,990 masyarakat Orang Asli daripada 12 kampung Orang Asli di daerah ini beserta 30 orang kakitangan Jakoa Negeri Sembilan akan menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19.

"Dari jumlah keseluruhan masyarakat Orang Asli tersebut seramai 1,734 orang yang layak untuk menerima suntikan vaksin dan 196 orang bersetuju menerima vaksin, sehingga kini 24 orang telah menerima vaksin dos pertama," katanya.

Sementara itu, seorang Duta Vaksin yang ditemui, Emi Redziana Rahim, 39, berkata, dia sebelum ini pernah mendengar pelbagai andaian mengenai suntikan vaksin.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun persepsi itu berubah selepas melihat keberkesanan suntikan vaksin berkenaan.

“Jika sebelum ini saya mendengar pelbagai andaian mengenai vaksin ini dan saya mula rasa bimbang namun, selepas saya mengambil vaksin ini saya merasa lega dan tidak percaya lagi pelbagai andaian yang didengar.

“Atas dasar tanggungjawab, apabila saya sudah dilantik sebagai Duta Vaksin ini saya mahu menyeru agar Orang Asli yang bimbang agar menerima vaksin ini bagi melindungi diri dan supaya menjaga prosedur standard operasi (SOP),” katanya.