Motosikal bertembung, dua maut termasuk pelajar

Motosikal milik mangsa yang maut dalam kemalangan remuk teruk di bahagian hadapan akibat bertembung dengan sebuah lagi motosikal.
Motosikal milik mangsa yang maut dalam kemalangan remuk teruk di bahagian hadapan akibat bertembung dengan sebuah lagi motosikal.
A
A
A

ALOR SETAR - Dua maut termasuk seorang pelajar lelaki apabila motosikal yang ditunggangi mereka bertembung dalam kejadian di Kampung Kubang Rotan, di sini pada malam Jumaat.

Kedua-dua mangsa dikenali sebagai Amir Husaini Mohd Rodzi, 15 dan Hamdan Adnan, 40, maut dalam kemalangan yang berlaku pada 8.25 malam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, seorang lagi penunggang motosikal, Muhammad Hidayat Rosli, 22, hanya mengalami cedera ringan selepas motosikal mangsa turut terlibat dalam kemalangan itu.

"Motosikal jenis Honda yang ditunggang Amir Husaini dan motosikal jenis SYM Sport Bonus ditunggang Hamdan dipercayai bertembung di Taman Nelayan, Kubang Rotan melibatkan tiga motosikal.

Siasatan awal mendapati, Amir Husaini dan Muhammad Hidayat menunggang dari arah Taman Nelayan ke arah Kubang Rotan, manakala Hamdan menunggang dari arah bertentangan," katanya dalam kenyataan akhbar pada Sabtu.

Ahmad Shukri berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila ketiga-tiga motosikal tiba berhampiran sebuah tiang elektrik dan mangsa yang maut telah bertembung secara berhadapan, di mana salah satu kenderaan telah memasuki laluan bertentangan.

"Selepas pelanggaran, salah sebuah motosikal itu terpelanting dan melanggar motosikal ditunggang Muhammad Hidayat.

Pelajar terbabit dan nelayan berusia 40 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, dua buah motosikal yang bertembung mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan.

"Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes diklasifikasi bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.