Ubah SOP sektor perniagaan, elak peniaga gulung tikar

Hannah Yeoh
Hannah Yeoh
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Keselamatan Negara (MKN) digesa mengubah suai prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 melibatkan sektor perniagaan bagi mengelak lebih ramai peniaga gulung tikar.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, semua golongan peniaga berada dalam kelompok yang sama dan tiada yang terkecuali terkesan dengan pandemik Covid-19.

"Saya menggesa MKN dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) segera ubah semula SOP supaya ia sesuai dengan semua sektor perniagaan bagi membolehkan peniaga bertahan dalam tempoh pandemik ini.

"Adalah sesuatu yang tidak masuk akal apabila pasar moden dan gerai di tepi-tepi jalan boleh beroperasi sedangkan penjaja pasar pagi terbuka tidak dibenarkan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Jelasnya, kerajaan sebelum ini telah diingatkan untuk mengubah strategi dalam menangani Covid-19 selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 atau 'total lockdown' yang dilaksanakan sekarang tidak berkesan.

"Malah SOP yang diguna pakai (sekarang) tidak berasaskan data dan keadaan rakyat serta keperluan para peniaga kecil terus terjejas.

"Ketika kita semua mengakui kepentingan untuk mengutamakan kesihatan dan nyawa rakyat, namun jangan pula kita abaikan keperluan kelangsungan sektor perniagaan yang turut menjadi ‘nyawa’ kepada para peniaga kecil ini," katanya.

Artikel Berkaitan: