Tangani trauma pasca-Covid-19

No Image Caption
A
A
A

SEHINGGA kini, cukup banyak perkongsian berkaitan pesakit Covid-19 serta ahli keluarga yang telah meninggal dunia akibat penyakit berkenaan menerusi pelbagai platform media baharu.

Pendek kata, ada yang berkongsi sendiri pengalaman mereka dan ada juga yang dikongsi oleh pihak ketiga. Sejujurnya, saya banyak membaca dan mendalami secara serius kebanyakan perkongsian tersebut. Malah ada juga yang saya dengar secara langsung daripada mereka yang terkena penyakit itu.

Adalah jelas, kebanyakan mereka telah mengalami trauma yang cukup dahsyat kesan daripada penyakit berkenaan. Jika saya yang mendengar dan membaca kisah berkenaan pun sudah terasa ketat di dada, apatah lagi mereka yang memikulnya sendiri.

Sebetulnya, antara perkongsian yang begitu menyentuh perasaan saya adalah kisah seorang ibu mengandung yang terkena wabak Covid-19. Perkongsian itu dilakukan sendiri olehnya menerusi media baharu setelah berpuluh-puluh hari berada di hospital.

Pengalaman beliau bertarung dengan masalah pernafasan dan terpaksa intubation sebanyak dua kali begitu memeritkan. Tambahan pula, dalam tempoh sama beliau dimasukkan ke bilik pembedahan untuk menyelamatkan bayi dalam kandungannya.

Walaupun anaknya selamat, namun penderitaan melawan sakit Covid-19, menahan kesakitan sepanjang tempoh rawatan serta kesakitan selepas bersalin secara sekali gus telah menyentap perasaan dan semangatnya.

Selain itu, pengalaman melihat peristiwa kematian di hadapan mata, pertarungan individu sesak bernafas serta jenazah dan pesakit kronik yang keluar masuk menerusi pintu berdekatan dengan katilnya menambahkan lagi trauma beliau.

Alhamdulillah, beliau cukup kuat menghadapi ujian tersebut dan telah pulih daripada penyakit Covid-19, namun kesan peristiwa tersebut mengambil masa yang agak lama untuk stabil.

Menurut American Psychological Association, trauma adalah tindak balas emosi seseorang setelah mengalami peristiwa yang cukup dahsyat seperti kemalangan, sakit kronik dan kehilangan orang tersayang.

Semasa trauma, mereka akan mengalami sindrom terkejut dan penyangkalan. Bagi jangka masa panjang, akan mengalami emosi luar kawalan, suka memikirkan dan mengulangi peristiwa sewaktu trauma serta mengalami perubahan tingkah laku dan fizikal seperti sakit kepala dan loya.

Kebanyakan mereka menghadapi kesukaran untuk meneruskan kehidupan pasca-trauma.

Ini bermakna, trauma boleh mengganggu kesihatan emosi dan fizikal serta perkembangan psikologi individu. Sekiranya trauma ini tidak ditangani secara serius, kemungkinan besar seseorang itu akan menghadapi masalah neurosis iaitu; mengalami gangguan pemikiran yang akan mempengaruhi emosi dan tingkah laku. Lama kelamaan mereka boleh menjadi murung.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, jika masih tidak ditangani secara menyeluruh, akan melarat kepada masalah psikosis iaitu; berlaku perubahan ketara dalam pemikiran, perasaan dan tingkah laku sehingga menjejaskan kewarasan individu. Akhirnya mereka akan mengalami kecelaruan personaliti.

Menurut perspektif Islam, membantu individu yang menghadapi masalah berkenaan adalah sebahagian daripada keadilan sosial.

Menurut Syed Qutb dalam bukunya; Al-‘Adalah Al-‘Ijtima ‘Iyyah fi Al-Islam, terdapat tiga asas penting dalam pembinaan tapak keadilan sosial iaitu; kebebasan jiwa yang mutlak, kesamarataan kemanusiaan yang sempurna dan jaminan sosial yang kukuh.

Ini bermakna, pesakit pasca-Covid-19 yang sebelum ini begitu trauma dengan penyakit berkenaan serta mereka yang kehilangan orang tersayang perlu ‘dimerdekakan’ jiwa mereka.

Selain itu, daripada Jarir bin Abdullah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: “ALLAH tidak akan menyayangi sesiapa yang tidak menyayangi manusia.” (Hadis Riwayat Bukhari).

Bersama-samalah kita berganding bahu memulihkan mereka menerusi program pemulihan yang tersusun dan komprehensif. Semoga ALLAH melindungi kita dengan kebaikan tersebut.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis