X

Kindly register in order to view this article
!

Gesaan Presiden UMNO diambil tindakan disiplin sekadar 'di angin lalu'

Walaupun MKT dan Biro Disiplin UMNO digesa mengambil tindakan ke atas Zahid, persoalannya berapa ramai yang berani berbuat demikian ke atas institusi kepresidenan? Gambar kecil: P Sivamurugan
A
A

SHAH ALAM - Tuntutan agar Presiden UMNO dikenakan tindakan disiplin mungkin sekadar 'di angin lalu'.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr P Sivamurugan berkata, tindakan disiplin itu memang boleh dibincangkan oleh Majlis Kerja Tetinggi (MKT) memandangkan beberapa keputusan dibuat Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dikatakan berlawanan dengan kenyataan rasmi parti.

Meskipun begitu katanya, adakah MKT benar-benar bersedia mendakwa Presiden parti itu sendiri berhubung usul yang dibawa oleh Biro Politik UMNO tersebut.

Menurut penganalisis politik itu, gesaan mengambil tindakan tegas ke atas Ahmad Zahid daripada Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mungkin sukar dicapai.

Jelasnya, kedudukan Ahmad Zahid sebagai Presiden sendiri menyukarkan tindakan disiplin dilaksanakan oleh pihak parti.

"Adalah sukar untuk mengenakan tindakan disiplin kerana dalam parti, institusi kepresidenan itu sendiri memainkan peranan yang sangat penting," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Selain itu katanya, berapa ramai pemimpin UMNO dalam MKT yang bersedia melawan arus menyokong Mohamed Nazri.

"Seramai manakah yang bersedia melawan arus dalam MKT untuk menyokong kenyataan Ahli Parlimen Rengas ini?

"Adakah Ketua-Ketua Bahagian juga mempunyai sentimen yang sama?" soalnya lagi.

Pada Isnin, Ahmad Zahid menerusi Biro Politik UMNO memberi kata dua kepada kerajaan agar memanggil Parlimen bersidang menerusi notis 14 hari.

Bagaimanapun Mohamed Nazri kemudian menuntut Ahmad Zahid dikenakan tindakan disipilin ekoran membelakangkan MKT.

Lebih mengejutkan Mohamed Nazri turut mendakwa beliau merupakan pemimpin yang menggerakkan usaha mengumpulkan surat akuan bersumpah 25 Ahli Parlimen Barisan Nasional bagi mewakilkan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai jurucakap kumpulan itu selepas mereka hilang kepercayaan kepada Zahid sekiranya bertemu Yang di-Pertuan Agong.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!