Tingkat kesedaran budaya kitar semula

Tan Hong Pin
Tan Hong Pin
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor mahu meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap budaya kitar semula sebagai langkah mengurangkan penghantaran sisa pepejal ke tapak pelupusan.

EXCO Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi negeri, Tan Hong Pin berkata, kitar semula merupakan jalan penyelesaian paling mudah yang boleh dilakukan oleh masyarakat.

"Kita sekarang sudah tiada jalan lain. Sebab tanah semakin kurang dan teknologi baharu yang ada sekarang belum tentu sesuai diguna pakai.

"Maka jalan keluar yang paling mudah, yang boleh semua orang buat ialah kitar semula. Dan mengurangkan sisa yang akan dihantar ke tapak pelupusan sampah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelancaran Program KITAR3cycle di Taman Molek di sini hari ini.

Hong Pin berkata, jika langkah itu dijayakan oleh semua pihak termasuklah masyarakat untuk ke arah merealisasikan 'zero waste', tiada keperluan untuk mewujudkan tapak pelupusan dan fasiliti baharu.

"Tidak perlu bimbang juga sekiranya ada isu-isu alam sekitar dan sebagainya. Maka perkara itu, memerlukan kerjasama dan sokongan daripada semua pihak terutamanya daripada penduduk.

"Kerajaan akan sentiasa memberikan khidmat nasihat dan bantuan untuk membantu komuniti menjayakan program pengasingan sisa pepejal. Saya harap perkara ini dapat diambil perhatian oleh masyarakat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai sasaran Kerajaan Johor untuk menjadikan negeri 'zero waste' pada masa akan datang, beliau mahu semua pihak memberikan komitmen ke arah itu.

"Kita perlu bagi komitmen. Jadi saya harap dalam lima tahun ini, kita buat yang paling maksimum. Jadi berapa yang boleh capai, kita buat sahaja.

"Mungkin dalam lima tahun ini, belum boleh capai sifar (sisa) 100 peratus, tapi janganlah hanya sekadar 20 peratus. Itu satu statistik yang sangat menyedihkan," katanya.