Kebajikan mahasiswa UUM terlibat PKPD terus terbela

Halim (kiri) menyerahkan cek sumbangan Komuniti Pemilik Senjata Api Awam Daerah Kubang Pasu kepada Hendrik di Anjung Tamu, UUM, Sintok pada Khamis.
Halim (kiri) menyerahkan cek sumbangan Komuniti Pemilik Senjata Api Awam Daerah Kubang Pasu kepada Hendrik di Anjung Tamu, UUM, Sintok pada Khamis.
A
A
A

SINTOK - Kebajikan mahasiswa yang terlibat dengan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kampus Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok bermula 13 Jun hingga Sabtu ini terus terbela apabila tidak putus-putus menerima sumbangan daripada pelbagai pihak.

Komuniti Pemilik Senjata Api Awam Daerah Kubang Pasu antara badan bukan kerajaan (NGO) terpanggil untuk memberi sumbangan atas keprihatinan terhadap pelajar di kampus itu yang tidak dibenarkan keluar dari inap siswa (Inasis) masing-masing.

Pengerusinya, Halim Ahmad berkata, pihaknya mengambil insiatif mengumpulkan dana kewangan bagi membantu mahasiswa yang berada di kampus ketika tempoh penguatkuasaan tersebut.

"Alhamdulillah, kami dapat mengumpulkan RM5,000 dalam masa lima hari melalui sumbangan lebih kurang 4,000 ahli komuniti pemilik senjata api awam di daerah ini demi meringankan beban pelajar.

"Kami tidak tetapkan jumlah sumbangan, walau 50 sen atau seringgit pun kami terima, dan tidak menyangka dapat mengumpulkan sejumlah wang dalam tempoh agak singkat ini," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Cek sumbangan berkenaan diserahkan Halim kepada Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Dr Hendrik Lamsali di Anjung Tamu, UUM di sini pada Khamis.

Halim berkata, pihaknya sepakat untuk menyumbangkan wang tunai berbanding barangan keperluan asas kepada pelajar demi mengelakkan berlakunya lambakan barangan.

"Kami dapati ada beberapa pihak menyalurkan barangan keperluan, jadi kami fikir lebih baik beri wang tunai yang mana sedikit sebanyak boleh digunakan pelajar ketika memerlukan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, pihaknya sememangnya aktif dalam kerja kebajikan sentiasa prihatin dan mengambil berat kebajikan golongan terjejas dan memerlukan termasuk pelajar.