Pekerja pembersihan adiwira tak didendang

No Image Caption
A
A
A

AWAL Januari lalu, dalam satu temu bual bersama portal media, seorang model sambilan yang dikenali sebagai Rozana Dzulkifli, tanpa rasa malu mengakui bahawa pekerjaan hakikinya adalah pekerja pembersihan.

Mengakui zaman ini agak sukar untuk mendapat pekerjaan, wanita ini tidak kisah bergelar sebagai tukang cuci, bermandi keringat dan bergelumang dengan kotoran demi kelangsungan hidup.

Sebagai tukang cuci, Rozana, 34, yang membantu suami menyara kehidupan lazimnya melakukan tugas seperti menyapu, mencuci tandas dan mengemop lantai.

Bahkan, video yang dikongsi di aplikasi TikTok memaparkan rutin pekerjaannya sebagai seorang pekerja pembersihan dan model sambilan tular apabila meraih lebih 100,000 tontonan selepas dimuat naik dalam tempoh masa yang singkat.

Rozana dalam videonya turut menyampaikan mesej bahawa pekerjaan sebagai seorang pekerja pembersihan bukanlah sesuatu yang hina dan kotor seperti difikirkan segelintir individu.

Namun, nasib seorang lelaki yang dikenali sebagai Abdul Rahim, 30, mungkin tidak sebaik Rozana. Ketika dia sedang menyapu lantai, ada kalangan pelajar yang melewati laluan tersebut akan mencampakkan pembalut gula-gula atau tisu ke lantai sebagai isyarat dia perlu membersihkan sampah tersebut.

“Jika kurang bernasib baik, ada juga meludah ke lantai betul-betul dekat dengan penyapu. Serba salah juga dibuatnya. Sebelum ini, ada seorang rakan kami menegur, malangnya kami pula diherdik,” luahnya.

Peranan

Artikel Berkaitan:

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendefinisikan pekerja pembersihan adalah individu yang bertanggungjawab membersih, menyelenggara, mengendali atau mengosongkan teknologi sanitasi pada setiap rantaian kebersihan.

Laporan WHO dan kumpulan antarabangsa pada 2019 mendedahkan, peranan pekerja pembersihan sering tidak diiktiraf. Pada masa yang sama, mereka juga terdedah dengan persekitaran berbahaya seperti jangkitan penyakit, kecederaan, stigma sosial dan kematian ketika melaksanakan tugas mereka.

Ironinya, ketika puluhan ribu rakyat negara ini kehilangan pekerjaan, stigma sosial terhadap pekerjaan yang sinonim sebagai 3D iaitu kotor, bahaya dan sukar dikikis. Kerja-kerja pembersihan sering terpalit konotasi sebagai pekerjaan kelas kedua.

Statistik Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) merekodkan penurunan jumlah pekerja asing di negara ini daripada dua juta orang pada 2019 kepada 1.68 juta orang pada 2021 masih gagal menarik rakyat Malaysia untuk mengisinya.

Alam Flora mendedahkan, rakyat Malaysia menghasilkan 38,000 tan sampah sehari. Daripada jumlah tersebut, 44 peratus adalah sisa makanan, 13.2 peratus sampah plastik dan 12.1 peratus adalah lampin pakai buang.

Bayangkan, apa yang berlaku andai sampah sarap tidak diuruskan oleh pekerja pembersihan? Barangkali kita akan ditenggelami dalam lautan sampah, bahkan tandas-tandas awam tiada siapa yang sanggup menggunakannya.

Ketika ramai dalam kalangan rakyat Malaysia bekerja di rumah semasa pandemik Covid-19, pekerja pembersihan pula perlu keluar rumah untuk melangsaikan tugasan mereka.

Sebagai kumpulan barisan hadapan yang berinteraksi dengan orang awam, ada kewajaran untuk mengutamakan pemberian vaksin kepada mereka.

Justeru, sebagai menghargai pengorbanan mereka, 17 Jun dipilih sebagai sambutan Hari Pekerja Pembersihan dengan tema tahun ini Keringat Teringat-ingat.

Meskipun, sambutannya agak suram kerana negara sedang menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, namun kreatiflah untuk meraikan mereka.

Sehari sahaja mereka bercuti, kita sudah rasa resah gelisah. Sungguh, jasa dan pengorbanan mereka terlalu tinggi nilainya. Insan-insan terpilih ini sanggup mengotorkan tubuh dan tangan supaya mata serta deria bau kita terus terpelihara daripada ‘rasa tidak selesa’ di mana saja.

Mulai hari ini, andai kita terserempak dengan pekerja pembersihan, lakukan salah satu atau ketiga-tiga perkara ini. Lemparkan senyuman, ucapan terima kasih dan jika mampu, hulurkan minuman atau makanan supaya adiwira yang banyak menumpahkan keringat dan kudrat ini agar terus kekal bersemangat.

* Najibah Hassan ialah Penyunting Sinar Harian