Program komunikasi massa perlu modifikasi

Ahmad Murad berpendapat universiti dan sekolah komunikasi mesti berusaha menawarkan kursus komunikasi dan media tanpa pengkhususan. Gambar kecil: Ahmad Murad
Ahmad Murad berpendapat universiti dan sekolah komunikasi mesti berusaha menawarkan kursus komunikasi dan media tanpa pengkhususan. Gambar kecil: Ahmad Murad
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Pengajar Kewartawanan Malaysia tidak menolak kemungkinan program komunikasi massa akan dihentikan jika ia gagal beradaptasi dengan situasi semasa ketika industri media kini makin suram.

Presidennya, Profesor Datuk Dr Ahmad Murad Merican berkata, komunikasi bukanlah satu disiplin yang mantap, sebaliknya berubah mengikut peredaran zaman.

“Ia (komunikasi) bukan macam disiplin undang-undang, perubatan dan ekonomi kerana bidang komunikasi ini agak cair dan berdasarkan sumbangan daripada bidang-bidang lain,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau yang mempunyai pengalaman selaku tenaga pengajar di sekolah-sekolah komunikasi sejak 1986 berpendapat, program-program komunikasi massa yang ditawarkan di negara ini didapati terlalu banyak.“Maksudnya banyak ijazah (sarjana muda) atau program yang boleh digabungkan. Misalnya, kewartawanan digabung dengan penyiaran.

“Ataupun program pengiklanan dan pemasaran mungkin boleh digabungkan dengan program perhubungan awam, begitu juga program penerbitan boleh digabungkan dengan program multimedia.

“Ataupun semua itu boleh menjadi satu program sahaja. Maksudnya di sini kewartawanan, penyiaran, perhubungan awam dan pengiklanan digabungkan sebagai satu program komunikasi atau komunikasi massa,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 85 program akademik tak laku dilupuskan

Ahmad Murad yang merupakan Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, beliau bersetuju penggabungan program itu bagi memastikan bidang komunikasi massa kekal relevan pada masa hadapan.

“Program-program itu juga boleh dimantapkan mengikut kesesuaiannya. Contohnya, program kewartawanan bukan hanya tertumpu kepada penulisan media cetak.

Artikel Berkaitan:

“Seorang wartawan juga akan membuat liputan mungkin untuk radio dan televisyen.

“Jadi wartawan kena tahu bagaimana mahu membuat liputan multimedia,” jelas beliau.

Ahmad Murad turut berpendapat sekolah atau fakulti pengajian komunikasi mesti bersedia bergabung dengan sekolah atau fakulti lain seperti bidang sains sosial dan kemanusiaan.

“Contohnya, graduan kewartawanan bukan hanya cukup setakat menulis dengan baik tetapi dapat sesuaikan kewartawanan mereka untuk pelbagai platform dan medium.

“Sempadan-sempadan pengkhususan tidak lagi relevan. Seorang wartawan juga perlu ada kemahiran menerbitkan dokumentasi, menggunakan ruang-ruang multimedia, membaca trend, menghalusi isu dan implikasinya kepada masyarakat,” katanya.Beliau berkata, universiti dan sekolah komunikasi mesti berusaha menawarkan kursus komunikasi dan media tanpa pengkhususan.

“Tidak ada program sebegitu kini di Malaysia. Maksudnya kita melihat komunikasi sebagai satu bidang luas yang merangkumi dan mencakupi segala kepintaran dan budaya manusia daripada kecerdasan buatan kepada budaya serta teknologi literasi.

“Saya sudah lama mencadangkan perkara ini kepada sekolah komunikasi di Malaysia tetapi mereka tidak nampak relevannya,” kata beliau.