85 program akademik tak laku dilupuskan

85 program akademik di 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara dilupuskan pada tahun lalu kerana dilihat tidak lagi relevan dan digantikan dengan program baharu. Gambar kecil: Husaini
85 program akademik di 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara dilupuskan pada tahun lalu kerana dilihat tidak lagi relevan dan digantikan dengan program baharu. Gambar kecil: Husaini
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 85 program akademik di 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara dilupuskan pada tahun lalu kerana dilihat tidak lagi relevan dan digantikan dengan program baharu.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Datuk Dr Husaini Omar berkata, daripada 85 program yang dilupuskan itu, 17 daripadanya melibatkan sarjana muda dan baki 68 program yang lain adalah sarjana serta doktor falsafah.

“Program sarjana dan doktor falsafah diganti mod penawaran yang berbeza atau digabungkan dengan program yang lain bagi memastikan program-program ini mampu berdaya saing dan menjamin kemampanan program akademik itu sendiri.

“Pelupusan program ini tidak akan memberi kesan kepada pelajar yang mengikuti kursus sedia ada kerana program ini hanya tidak ditawarkan untuk pelajar baharu sahaja.

“IPTA sendiri akan mengenal pasti program mana yang hendak dilupuskan. Bila program dilupuskan, maksudnya IPTA tidak langsung menawarkan program tersebut,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Menurut Husaini, antara sebab utama pelupusan program oleh IPTA adalah kerana program yang ditawarkan itu tidak relevan dengan perkembangan teknologi dan industri selain kurang popular dalam kalangan pelajar.

“Maksudnya permohonannya sangat rendah oleh pelajar itu sendiri seperti pelajar daripada lepasan sekolah. Selain itu, ia juga atas nasihat daripada Jawatankuasa Penasihat Industri di mana setiap program itu mempunyai jawatankuasanya.

“Jadi, setiap kali mereka semak program, memang perlu ada penglibatan dengan jawatankuasa ini yang memberi pandangan bagaimana untuk tambah baik program,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Husaini berkata, pelupusan program berlaku setiap tahun kepada pemilik program atau universiti itu sendiri dan terdapat beberapa faktor yang diambil kira dalam proses semakan semula program akademik berkenaan.

“Ia melihat kepada peratusan kebolehpasaran graduan, senarai pekerjaan yang kritikal yang dikeluarkan oleh Talent Corp, data-data yang diberikan oleh Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA) dan juga Jabatan Perangkaan Malaysia,” katanya.

Menurutnya, antara program yang digugurkan oleh IPTA adalah seperti Sarjana Muda Pendidikan (Pengurusan Pendidikan) dan Sarjana Muda Sains (Zoologi).

“Yang ini semua telah dilupuskan tetapi mereka (IPTA) telah menawarkan program baharu, contohnya dengan merekabentuk semula program kepada program transdisiplinari,” katanya.

Ditanya mengenai pengajian berkaitan sejarah dan sastera masih diperlukan di negara ini, Husaini berkata, ia masih lagi diperlukan dan penting kepada negara.

“Kita mesti ada pakar sejarah dan sastera kerana ia adalah ilmu yang perlu ada pada semua pelajar. Tidak ada orang sejarah nanti bahaya juga, di mana-mana pun bukan di Malaysia sahaja.

“Sejarah, sastera itu penggerak kepada kita untuk mengenal negara kita, kita kenal sesebuah negara dan sesuatu budaya,” kata beliau.