X

Kindly register in order to view this article
!

Pekerja, majikan terkesan Covid-19 diminta dapat faedah SIP

A
A

KUALA LUMPUR - Pekerja dan majikan dalam semua sektor termasuk peruncitan dan membeli-belah yang terkesan akibat pandemik Covid-19 diminta mendapatkan bantuan atau faedah sementara ditawarkan kerajaan melalui Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan, antara bantuan SIP bagi pekerja yang kehilangan pekerjaan adalah Elaun Mencari Pekerjaan (EMP), Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA), Elaun Pendapatan Berkurangan (EPB), Elaun Latihan dan faedah bantuan pencarian pekerjaan.

"Selain itu, fi latihan juga dibayar kepada penyedia latihan yang berdaftar dengan jumlah maksimum sebanyak RM4,000.

SIP merupakan satu program jaringan keselamatan sosial bertujuan membantu pekerja kehilangan pekerjaan untuk mendapatkan bantuan kewangan secara sementara dan membantu mereka yang terkesan untuk mendapatkan pekerjaan agar dapat meneruskan kelangsungan hidup," katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan individu berinsurans akan diberi nasihat dan bantuan serta peluang untuk meningkatkan kemahiran melalui skim latihan disediakan kerajaan.

"Pekerja yang kehilangan pekerjaan juga boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada Jabatan Tenaga Kerja dan Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia secara dalam talian berhubung permasalahan dihadapi,” menurut kenyataan itu.

KSM turut meminta agar permohonan tuntutan faedah SIP dibuat sama ada secara dalam talian di Portal SIP atau hadir di mana-mana kaunter Perkeso berhampiran.

Selain itu, pekerja yang terkesan juga boleh melayari Portal Pekerjaan Negara MYFutureJobs yang terbuka kepada semua lapisan masyarakat untuk mendapatkan peluang pekerjaan.

"Pada masa ini terdapat 242,598 kekosongan jawatan aktif yang berdaftar di bawah Portal Pekerjaan Negara MYFutureJobs,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari pautan https://eiscentre.perkeso.gov.my/ms/utama/ atau hubungi Pusat Khidmat Pelanggan di talian 1-300-22-8000 atau melalui e-mel ke [email protected] - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!