Tubuh jawatankuasa kukuh kerjasama UMNO-Pas

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerjasama dan muafakat antara UMNO dan Pas akan diperkasakan walaupun ada usaha menimbulkan kesangsian antara dua parti itu.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, malah parti itu turut menubuhkan jawatankuasa bagi mengukuhkan kerjasama tersebut.

"Sukacita ditegaskan bahawa kerjasama dan muafakat kedua-dua parti bukan saja diteruskan malah akan diperkasakan.

"Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan telah melantik beberapa pemimpin terkanan parti untuk menganggotai satu jawatankuasa bersama bagi merangka tindakan susulan ke arah kerjasama lebih kukuh menuju PRU15," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, UMNO turut berpuas hati dengan kerjasama erat diberikan Pas dalam kempen PRK DUN Semenyih.

"Ternyata dalam PRK ini kita mencapai titik kerjasama dan muafakat lebih baik berbanding semua PRK sebelum ini. Kini, kerjasama terjalin di peringkat akar umbi dalam suasana ukhwah dan semangat juang yang cukup tinggi.

"Kita sedar muafakat dan kerjasama UMNO-Pas adalah satu satunya jawapan dan penawar bagi kebejatan politik nasional kini. Khususnya dalam konteks penyatuan dan kesatuan umat Islam, Melayu serta Bumiputera," katanya.

Artikel Berkaitan: