X

Kindly register in order to view this article
!

Kadar jangkitan Covid-19 di India turun 90 peratus

India mencatatkan rekod baharu pemberian lebih 8.5 juta dos vaksin pada Isnin. - Foto AFP
A
A

KADAR jangkitan Covid-19 di India menurun 90 peratus daripada paras tertinggi yang pernah direkodkan sebelum ini, menurut pihak berkuasa kesihatan pada Selasa.

Pada masa sama, negara itu mencatatkan rekod baharu pemberian lebih 8.5 juta dos vaksin pada Isnin.

Setiausaha Kementerian Kesihatan Rajesh Bhushan berkata, sekitar dua pertiga daripadanya diberikan kepada mereka yang berada di luar bandar.

"Semalam, pusat-pusat vaksinasi di luar bandar memberikan 5,609,786 dos, iaitu 63 peratus daripada keseluruhan dos vaksin yang diberikan.

"Di kawasan bandar, 3,199,484 dos diberikan di pusat-pusat vaksin. Ia merangkumi 36 peratus daripada semua dos yang diberikan.

"Pada 7 Mei, kemuncak jumlah kes harian dicatatkan iaitu sebanyak 414,188. Sejak itu, penurunan berterusan direkodkan.

"Kini, penurunan itu mencecah 90 peratus berbanding dengan angka pada waktu puncak tersebut," katanya di New Delhi.

Perkembangan itu menyusul tindakan kerajaan pusat mengambil alih program vaksinasi negara dan menawarkan suntikan secara percuma kepada individu berusia 18 tahun ke atas.

India dilanda gelombang kedua jangkitan yang buruk pada April lalu dengan kes harian melonjak sehingga 414,000.

Setakat ini, negara itu mempunyai jumlah kumulatif jangkitan hampir 30 juta dengan lebih 389,000 kematian.

Namun, pakar kesihatan percaya angka itu sebenarnya lebih tinggi berbanding angka yang didedahkan daripada data. - Awani


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!