X

Kindly register in order to view this article
!

Terjun 'flyover' elak ditahan

Polis berjaya menahan kesemua suspek.
A
A

ISKANDAR PUTERI - Gara-gara ingin mengelak dari ditahan polis, tiga daripada empat suspek pecah rumah bertindak nekad dengan terjun dari jejambat di Jalan Tampoi, berdekatan Plaza Angsana di sini pada Selasa.

Bagaimanapun, tindakan itu hanya sia-sia apabila kesemua suspek berusia antara 22 hingga 30 tahun berjaya ditahan dan turut mengalami kecederaan patah tangan, bahu dan pinggang.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, sebelum kejadian, sepasukan anggota polis yang sedang melakukan tugas rondaan cegah jenayah telah terserempak dengan sebuah kereta jenis Perodua Myvi di tepi Jalan Seri Orkid, berhadapan Hutan Bandar, Taman Mutiara Rini pada jam 4.45 pagi.

"Anggota bertugas telah mengarahkan pemandu kenderaan tersebut supaya berhenti, namun tidak diendahkan dan terus memecut laju ke arah jalan besar Skudai.

"Semasa kereta itu diekori oleh pihak polis, ia telah terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Jalan Tampoi berdekatan Plaza Angsana Johor Bahru.

"Kenderaan itu berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan, kita dapati keempat-empat suspek yang juga penganggur berada dalam kenderaan tersebut," katanya dalam satu kenyataan.

Keadaan dalam kereta suspek yang ditahan.
Keadaan dalam kereta suspek yang ditahan.

Jelas Dzulkhairi, semasa proses tangkapan dibuat, tiga suspek bertindak terjun dari jejambat berhampiran lokasi tersebut, namun berjaya ditahan dan tiga suspek terbabit mengalami kecederaan.

Hasil siasatan lanjut, tiga daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

"Kita telah merampas dua helmet, sebuah radio, dua pembesar suara, sebuah mesin pemotong, dua telefon bimbit, sebatang pemotong bunga, sepasang sarung tangan, sebatang pemutar skru, sebatang penukul dan sebatang pelayar boleh laras serta kenderaan dinaiki mereka turut dirampas.

Antara peralatan yang dijumpai dalam kereta suspek.
Antara peralatan yang dijumpai dalam kereta suspek.

"Kesemua saspek disyaki telah melakukan kes pecah rumah di kawasan Jalan Bakti, Mutiara Rini.

"Tiga suspek yang mengalami kecederaan kini berada di dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Sultanah Aminah di sini," ujarnya.

Kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!