Tiada keperluan wujudkan jawatankuasa khas Parlimen

Mahfuz Omar
Mahfuz Omar
A
A
A

ALOR SETAR - Tiada keperluan mewujudkan Jawatankuasa Khas Parlimen yang dianggotai wakil kerajaan dan pembangkang bagi meneliti aspek-aspek penting sebelum persidangan Parlimen bermula.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, cadangan itu hanyalah taktik untuk melengah-lengahkan persidangan Parlimen setelah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar Parlimen bersidang segera.

Sebaliknya, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena mahu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin menetapkan tarikh persidangan dan segera mengeluarkan notis memanggil ahli bagi sidang Parlimen.

“Kalau kilang boleh bekerja secara bersemuka, takkan pula Parlimen tidak boleh semuka kerana dewan sudah dilengkapi pemisah pada persidangan lalu.

"Tak perlu lagi bincang, kalau perlu adakan taklimat sebelum bersidang pun perlukan sehari sahaja. Untuk panggil ketua-ketua parti jumpa pun tiada keperluan, yang perlu adalah tetapkan tarikh dan keluarkan notis,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, notis tersebut hendaklah dilakukan dalam tempoh 28 hari sebelum hari pembukaan persidangan kerana titah Seri Paduka Baginda tertakluk pada kuasa bawah Ordinan Darurat, iaitu sebelum 1 Ogos.

“Kalau dalam tempoh 28 hari itu mahu tubuhkan jawatankuasa dan bermesyuarat beberapa kali untuk bincang, ia ambil masa lama dan tak sempat diadakan sebelum tamat tempoh Darurat.

"Sidang segera dalam konteks titah Yang di-Pertuan Agong adalah bidang kuasa dalam tempoh Ordinan Darurat yang memberikan peruntukan itu kepada Seri Paduka Baginda dan tidak perlu tunggu nasihat Perdana Menteri untuk panggil, prorog atau bubarkan Parlimen pada tarikh difikirkan sesuai,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sekiranya persidangan diadakan selepas 1 Ogos, ia tidak lagi tertakluk bawah Ordinan Darurat dan kerajaan seolah mengenepikan titah Seri Paduka Baginda.

“Untuk membolehkan persidangan sebelum tamat tempoh Darurat, boleh keluarkan notis pada Jumaat ini dan persidangan dapat diadakan seawal 15 Julai.

"Yang di-Pertuan Agong bertitah, kerajaan tentukan tarikh, takkan pula Seri Paduka Baginda juga perlu lakukan, jangan rendahkan taraf Seri Paduka Baginda dengan isu pentadbiran sebaliknya kerajaan perlu persembahkan sebelum 1 Ogos,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Parlimen bukannya wujud semalam sebaliknya persidangan pertama diadakan pada 11 September 1959.

“Kalau baharu wujud, munasabah lah nak tubuh jawatankuasa bincang prosedur dan peraturan mesyuarat. Semua peraturan itu sudah ada, jadi tak ada masalah untuk bersidang.

"Selepas notis dikeluarkan, kalau kerajaan nak panggil ahli Parlimen bincang agenda seperti jangan buat undi tak percaya, itu hal lain walaupun sebenarnya tak perlu. Saya hairan, perkara mudah disukarkan, seolah kerajaan mengelak untuk segerakan bersidang,” katanya sinis.

Pada Ahad, Perdana Menteri mengumumkan sebuah jawatankuasa dianggotai wakil kerajaan dan pembangkang dibentuk untuk meneliti aspek-aspek penting sebelum persidangan Parlimen diadakan.

Beliau memberikan komitmen bahawa keputusan pembukaan persidangan Parlimen akan diputuskan oleh kedua-dua pihak dalam jawatankuasa berkenaan.