X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 03 Julai 2022

PKPD di dua lokaliti di Kunak, Sabah

Ismail Sabri
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua lokaliti di Kunak, Sabah bermula Khamis sehingga 7 Julai ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD di Kunak itu melibatkan Kampung Pangi Hujung dan Kampung JKR Lama.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk menyekat pergerakan dan penularan jangkitan dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Ismail Sabri berkata, kerajaan juga bersetuju untuk melanjutkan PKPD di Kampung Kebayau, Kota Belud, Sabah bermula Khamis sehingga 7 Julai.

“Sehingga kini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan sebanyak 200 ujian saringan dan 22 daripadanya disahkan positif Covid-19.

“KKM juga mendapati penularan masih berlaku dalam komuniti serta terdapat kes baharu direkodkan di lokaliti tersebut,” katanya.

Ismail Sabri turut mengumumkan penamatan PKPD di Kampung Sungai Penchala, Kuala Lumpur pada Rabu.

Selain Kampung Sungai Penchala, beliau berkata, penamatan PKPD juga melibatkan lokaliti di Sabah membabitkan Sandakan, Kudat dan Lahad Datu.

Untuk Sandakan, katanya, penamatan PKPD di Kampung Sungai Obar, Batu 7 dan Fasa 9B Taman Indah Jaya pada Rabu.

"Untuk Kudat, penamatan PKPD juga pada Rabu membabitkan Kampung Sin San dan Kampung Singgahmata, Pulau Banggi.

“Kerajaan juga bersetuju menamatkan PKPD di Taman Perdana, Lahad Datu pada Selasa,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail berkata, seramai 959 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) pada Isnin.

“Daripada jumlah itu, seramai 923 individu dikompaun manakala 36 lagi direman,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!