Dua kluster baharu di utara Sarawak

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Dua kluster baharu Covid-19 hari ini dicatatkan di Sarawak, masing-masing di daerah Sebauh di Bintulu dan Telang Usan di Miri, menjadikan kluster aktif di negeri ini berjumlah 97.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan Kluster Sungai Long Seripa adalah kluster komuniti membabitkan sebuah rumah panjang yang telah diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Sungai Long Seripa, Tubau, Sebauh.

“Sejumlah 108 individu telah disaring dengan 40 kes telah dikesan positif Covid-19 termasuk kes indeks dan 68 kes lagi masih menunggu keputusan makmal,” menurut kenyataan itu.

Kluster Lunyim adalah satu kluster komuniti dikesan melibatkan dua buah kampung yang telah diletakkan di bawah PKPD iaitu Kampung Long Lunyim dan Long Tepen, Telang Usan.

Menurut kenyataan itu, sejumlah 63 individu telah disaring yang mana 21 kes telah dikesan positif Covid-19 termasuk kes indeks, 25 kes didapati negatif dan 17 kes masih menunggu keputusan makmal.

Sementara itu, JPBN memutuskan untuk melaksanakan PKPD di tiga lokaliti di Bintulu susulan peningkatan penularan pandemik Covid-19 di kawasan berkenaan selama 14 hari bermula semalam hingga 4 Julai.

Kawasan terbabit ialah Rumah Panjang (Rh) Slyvester Bunsu anak Ganyun, Nanga Selilai Kakus, Tatau; Kuarters 15, Ladang Sububu, Samalaju; dan Rh Lampoh anak Dana, Sungai Mas Km 25, Jalan Bintulu-Tatau.

Sementara PKPD di Rh Grace Itun dan Rh Pinggan Sungai Salim, Sibu dilanjutkan sehingga 2 Julai manakala Kuarters Pekerja Zedtee Plywood, Tatau pula dilanjutkan sehingga 27 Jun.

Artikel Berkaitan:

Sarawak merekodkan 507 kes baharu Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 60,989 dengan tujuh kematian baharu dicatatkan yang menjadikan angka korban Covid-19 di negeri ini meningkat kepada 389 orang. -Bernama