GRO Vietnam kaut tip lumayan

Antara yang ditahan dalam Ops Noda di sebuah pusat hiburan di ibu negara.
A
A

KUALA LUMPUR - Sekadar menemani pelanggan minum dan berhibur, gadis pelayan pelanggan (GRO) warga Vietnam mampu peroleh tip lumayan sehingga mencecah RM500 sehari.

Berpenampilan seksi dan mampu 'mencairkan' lelaki berhidung belang semestinya menjadi kegilaan pengunjung di sebuah pusat hiburan di Jalan Ampang, di sini.

Aktiviti tidak bermoral itu bagaimanapun berjaya dilumpuhkan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) menerusi Ops Noda, kira-kira jam 11.30 malam tadi.

Pegawai Turus D7 Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Rohazah Alwi berkata, operasi yang diketuai pegawainya Asisten Superintendan Ridhuan Abdul Razak bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur ini telah menahan seramai 12 wanita warga Vietnam disyaki GRO berusia lingkungan 20-an.

"Turut ditahan adalah seorang lelaki tempatan merupakan penjaga premis.

"Polis kemudian telah menyita pelbagai barang seperti pembesar suara, resit jualan serta wang tunai RM700," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut juga mendapati premis tidak berlesen ini telah beroperasi hampir setahun.

Katanya, pihaknya percaya GRO ini memperoleh tips berjumlah RM300 hingga RM500 sehari bergantung kepada layanan yang diberikan kepada pelanggan pusat hiburan tersebut.

Dalam serbuan ini juga, seramai 11 individu tempatan termasuk seorang wanita telah membuat ujian saringan air kencing, namun disahkan negatif.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen, Seksyen 39b Peraturan Imigresen serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia