Hanya pesakit disahkan positif Covid-19 guna RT-PCR ditempatkan di PKRC

Dr Mohd Zurairie kanan dan Dr Selasawati Ghazali (kiri) melihat pesakit yang ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Tunjong, Kota Bharu.
Dr Mohd Zurairie kanan dan Dr Selasawati Ghazali (kiri) melihat pesakit yang ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Tunjong, Kota Bharu.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Hanya pesakit yang disahkan positif Covid-19 menerusi kaedah ujian pengesanan Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) akan ditempatkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di negeri ini bermula esok.

Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir berkata, langkah itu diyakini mampu mengoptimumkan sumber dan tenaga petugas di 14 PKRC dengan keputusan positif yang lebih tepat selain faktor penurunan kes sejak dua minggu lalu.

Menurutnya, RT-PCR akan digunapakai kecuali di lokaliti kluster yang kadar positif Covid-19 lebih tinggi dengan mengekalkan penggunaan RTK-Ag atau ditentukan oleh Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) negeri serta CPRC Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Bermula esok, kes yang diisytiharkan sebagai kes sah memerlukan pengesahan ujian RT-PCR dan pesakit kategori satu hingga empat akan di tempatkan di PKRC.

“Bagi pesakit positif melalui ujian RTK-Ag akan ditempatkan sementara di asrama Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh dan asrama Hospital Pasir Mas (sebelum ini adalah PKRC) dan perlu menjalini RT-PCR serta yang positif akan dihantar ke PKRC,” katanya ketika lawatan ke PKRC Tanjung Chat di sini pada Isnin.

Hadir sama, Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Datuk Dr Selasawati Ghazali.

Mengulas lanjut, setakat ini empat PKRC di negeri ini iaitu Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM), Pasir Mas; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Laut, SMK Salor dan Kampus Universiti Sains Malaysia (USM) akan diletakkan dalam keadaan bersedia.

“Kemasukan pesakit dihentikan mulai esok di PKRC Kampus USM dan KKTM Pasir Mas manakala PKRC SMK Salor dan SMK Kampung Laut akan berada dalam ‘standby mood’ setelah kumpulan pesakit terakhir dibenarkan pulang hari ini.

Artikel Berkaitan:

“Kita bagaimanapun tidak boleh menutup terus PKRC tersebut dan akan sentiasa berada dalam keadaan bersedia dengan sebarang kemungkinan,” katanya.

Beliau sebelum itu turut menerima sumbangan 10 unit Oxygen Concentrators daripada Malaysian Thoracic Society dan Lung Foundation of Malaysia bagi kegunaan di PKRC Tanjung Chat.

Sementara itu, Dr Selasawati memberitahu, penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) Covid-19 HRPZ II menurun kepada 76 peratus iaitu 32 pesakit dalam rawatan berbanding 90 hingga 95 peratus dua minggu sebelum ini.