X

Kindly register in order to view this article
!

UMNO Kelantan desak kerajaan panggil sidang Parlimen segera

Ahmad Jazlan
A
A

KOTA BHARU - UMNO Kelantan mendesak kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk segera memanggil sidang Parlimen bagi membincangkan isu pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara ketika ini.

Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yakob berkata, desakan itu bertepatan dengan cadangan Presiden UMNO dengan mengambil kira titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya Parlimen segera bersidang.

"Sidang Parlimen kali ini amat mustahak untuk disegerakan. Ia bagi membolehkan suara, harapan dan pelbagai tuntutan rakyat yang sedang dalam keresahan dan kesempitan di kala pandemik Covid 19 dapat disuarakan serta dibahaskan secara rasmi oleh wakil-wakil mereka pilih melalui sistem demokrasi berparlimen," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Ahli Parlimen Machang itu berkata, rakyat perlu tahu dan mendapat penjelasan secara tuntas daripada kerajaan bagi setiap perbelanjaan yang telah dikeluarkan ketika pandemik Covid-19.

Beliau berkata, langkah itu bagi membolehkan semakan dan penambahbaikan dibuat terhadap setiap tindakan kerajaan sepanjang tempoh darurat berlangsung.

Menurutnya, UMNO Kelantan juga berpandangan bahawa proklamasi darurat perlu ditamatkan selewat-lewatnya pada 1 Ogos depan kerana kerajaan dilihat gagal melandaikan lengkuk jangkitan wabak Covid-19 di negara ini.

Sebaliknya, kata beliau, proklamasi darurat itu dilihat lebih kepada tujuan 'political move' oleh pihak tertentu.

"UMNO Kelantan mendesak kerajaan tanpa sebarang helah dan dalih untuk segera mengadakan sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari bermula hari ini," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!