Kanak-kanak maut dijangkiti difteria tak pernah terima suntikan imunisasi

Pada 2018, sebanyak 18 kes difteria dilaporkan dengan lima kematian. Empat daripada lima kes itu tidak menerima imunisasi.
Pada 2018, sebanyak 18 kes difteria dilaporkan dengan lima kematian. Empat daripada lima kes itu tidak menerima imunisasi.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun satu bulan di Johor Bahru, Khamis lalu, akibat jangkitan difteria kerana tidak pernah menerima sebarang imunisasi sejak lahir.

Ketua Pengarah KKM, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kanak-kanak tersebut mula mengalami demam, batuk dan bengkak tonsil pada 16 Februari dan dikejarkan ke unit kecemasan hospital dua hari kemudian.

Katanya, kanak-kanak itu berada dalam keadaan lemah dan dimasukkan ke unit rawatan rapi pediatrik untuk bantuan pernafasan serta rawatan antitoksin difteria.

“Malangnya, kanak-kanak itu tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia pada Khamis lalu dengan sebab kematian Severe Diphtheria with multiorgan failure.

“Ujian pengesanan ke atas sampel calitan tekak kes menunjukkan kehadiran bakteria Corynebacterium diphtheriae dan pihak kementerian kini menunggu keputusan makmal untuk pengesahan toksin difteria. Kes tidak pernah menerima sebarang imunisasi sejak lahir,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, penyakit difteria disebabkan oleh jangkitan bakteria Corynebacterium Diphtheriae yang menyebabkan gejala sakit tekak dengan selaput di dalam tekak, bengkak tonsil dan kemungkinan berlaku komplikasi bacteremia (infeksi darah) dan endokarditis (infeksi pada jantung) sehingga menyebabkan kegagalan organ, yang seterusnya boleh membawa maut.

“Pemberian imunisasi difteria dapat mengelak daripada jangkitan atau jika terkena jangkitan, gejala adalah lebih ringan dan tiada komplikasi,” katanya.

Beliau berkata, KKM telah mengambil tindakan bagi membendung penularan jangkitan ini termasuk pencarian kes secara aktif di kawasan kediaman kes, aktiviti pemberian imunisasi dan pendidikan kesihatan.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu katanya, KKM menasihati orang awam terutamanya ibu-bapa agar sentiasa berwaspada terhadap penyakit berjangkit yang boleh dicegah melalui imunisasi seperti difteria, demam campak (measles), batuk kokol (pertussis) dan lain-lain.

“Pastikan anak anda diberikan imunisasi. Imunisasi adalah cara pencegahan penyakit yang berkesan dan selamat. Perkhidmatan imunisasi ini boleh diperolehi daripada klinik kesihatan kerajaan dan swasta.

“Kegagalan memberikan imunisasi kepada kanak-kanak bukan sahaja mendedahkan anak anda kepada jangkitan kuman malahan boleh membahayakan kanak-kanak lain,” katanya.

Sehubungan itu, ibu bapa yang masih belum memberikan imunisasi kepada anak-anak mereka dinasihatkan agar tampil untuk mendapatkan imunisasi mengikut jadual yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Bagi kanak-kanak yang tercicir suntikan, segera mendapatkan perkhidmatan imunisasi di mana-mana fasiliti kesihatan terdekat.